Isnin, 30 November 2015

Lebih ramai akan dibawa ke lembaga disiplin


Tengku Adnan
Ku Nan
 
 
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa lebih ramai individu akan dibawa ke lembaga disiplin parti selepas ini untuk dikenakan tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja dikenakan terhadap tujuh pemimpin yang dikaitkan sebelum ini malahan turut melibatkan lebih ramai pihak termasuk ketua-ketua cawangan yang dianggap tidak berdisiplin dalam mengeluarkan kenyataan.

“Ada juga ketua-ketua cawangan akan turut dipanggil kerana tidak mempunyai disiplin dalam parti,” katanya ketika sidang media Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Kearah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Hotel Istana, hari ini.

Sebelum ini, Tengku Adnan ada mengeluarkan kenyataan bahawa Jawatankuasa Khas sedang menjalankan siasatan terhadap tujuh pemimpin Umno berhubung kenyataan terbuka yang memberi kesan kepada parti.

Menyentuh mengenai tindakan beberapa ketua cawangan yang mendesak presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan, Tengku Adnan memaklumkan bahawa bahawa kenyataan yang dikeluarkan tersebut adalah merupakan suara individu dan tidak melibatkan cawangan.

“Kalau ikut perlembagaan, keputusan untuk menolak presiden seharusnya melalui mesyuarat cawangan dan ianya mesti dihadiri oleh dua pertiga ahli jawatankuasa cawangan.

“Sekiranya usul berkenaan diluluskan, ia akan dibawa balik ke bahagian dan pihak berkenaan akan menentukan sebarangt keputusan.

“Selepas itu, tiap-tiap bahagian akan hantar laporan berkenaan ke ibu pejabat. Namun lepas kita buat semakan sebelum ini, tak ada pun mana-mana cawangan yang menghantar usul atau laporan,” katanya

Tiada ulasan: