Sabtu, 28 November 2015

Lagi desakan mahu Najib segera undur



Lagi desakan mahu Najib segera undur
Kira-kira 50 ahli Gabungan Ketua Cawangan Malaysia terus mendesak Mohd Najib berundur dan melakukan pemilihan Umno tahun hadapan. - Sinar Harian.


PUCHONG - “Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dah banyak buat perkara yang menyusahkan rakyat, kita desak beliau berundur... kalau tak, kami semua seluruh negara akan undurkan dia,”demikian desakan Ketua Umno Cawangan Kampung Railway, Mohd Said Midon.

Beliau bersama kira-kira 50 ahli Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia terus mendesak perkara itu dan memberitahu gerakan itu kini mendapat sokongan lebih 20 bahagian di seluruh negara.

Menurutnya, angka bukan sebagai penentu namun pihaknya ingin memberitahu pucuk pimpinan bahawa ketua cawangan yang memberi sokongan meminta Najib berundur bertambah setiap hari.

“Matlamat kami hanya mahu presiden turun, kalau beliau bijak...  jalankan pemilihan Umno tahun depan untuk kembalikan keyakinan kepada parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gesa Najib undur: Ketua cawangan nafi wujud dalang]

“Kami sayang Umno, kami orang Umno, kami tak akan keluar daripada Umno dan tak akan buat parti baharu, cuma dua perkara tu saja kami desak,” katanya pada sidang media Perjuangan Mendemokrasikan Umno ‘Berani Kerana Benar’, di Kelab Golf Kinrara, malam ini.

Ketua Umno Cawangan Bandar Puteri, Mohd Shukor Mustaffa berkata, pihaknya membuat ketetapan presiden perlu berundur dan tiada pemecatan kepada mana-mana ahli Umno yang menegur atau mengkritik parti serta pemimpin demi kebaikan.

Katanya, ketua cawangan yang memberi kuasa kepada presiden dan dengan ‘kuasa’ yang ada juga Najib akan dijatuhkan.

Dalam tempoh sebulan dua lagi, katanya, pihaknya akan menunjukkan bahawa mereka mempunyai kuasa yang dimaksudkan.

Mohd Shukor berkata, beliau kecewa apabila ketua bahagian yang diharap membuat teguran sebelum ini tidak bercakap hanya kerana takut menjejaskan kedudukan dari segi material.

“Kami harap teguran dilakukan oleh mereka yang berjawatan kepada nakhoda kapal layar Umno, namun ia tidak berlaku, jadi masa telah sampai untuk kami buka mulut dan lakukan sesuatu,”katanya.

Menurutnya, beliau sedih dengan perkembangan parti keramat tersebut kebelakangan ini termasuk tindakan tidak bijak di peringkat tertinggi parti.

“Kami tidak berseorangan mendesak perubahan berlaku dalam kepimpinan Umno Malaysia, jangan ada pihak yang beranggapan kami perosak Umno sedangkan kami tiang utama untuk Umno kembali kuat,”katanya.

Tambahnya lagi, Umno kini sudah tergelincir dari landasan dan pihaknya bertungkus lumus untuk memperbaiki semula landasan.

Beliau mempersoalkan mengapa mereka yang memberi kritikan membina dikenakan tindakan, dan yang melontar pandangan benar  serta ikhlas menjadi ‘dosa’ dalam Umno.

“Kami bukannya dalang dan tiada siapa menjadi dalang di belakang kami, kami menyusun rangkaian ketua cawangan yang berani untuk menentukan Umno berada di landasan sepatutnya,”katanya lagi.

Ketua Cawangan Umno Taman T.K.K, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, Najib tidak sesuai lagi mengepalai Umno atau BN untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Lebih baik beliau berundur daripada Umno menjadi mangsa pada masa akan datang, kami lakukan ini untuk selamatkan parti.

“Ada yang kata ia tak berkesan, kalau tak berkesan kenapa ada sembilan orang yang buat kenyataan dihantar surat dikenakan tindakan tatatertib,”katanya.


Tiada ulasan: