Sabtu, 28 November 2015

Fitnah: Jangan keruhkan hubungan dengan PKR, Pas



 Dr Mohd Hafidz Rizal Amran
Mohd Hafidz
 
 
SHAH ALAM - PKR Kelantan mengingatkan perwakilan-perwakilan parti itu agar tidak mendengar fitnah tersebar yang boleh mengeruhkan hubungan parti itu dengan Pas.

Perwakilan Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, hubungan yang terjalin sehingga hari ini sejak sekian lama boleh dipuji kerana masih terjaga.

"Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) pun ada tegur saya tadi, 'hijau sangat' tapi, saya (memakai warna) hijau hari ini tidak semestinya saya sokong seratus peratus apa yang dibuat oleh Pas.

"Tapi kita kena melihat bahawa Pas ini parti yang telah kita bersahabat sekian lama dan pada masa sama, kita boleh memuji persahabatan itu masih terjaga sampai hari ini," katanya ketika membahaskan ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR Tahunan ke-11, di sini, hari ini.

Mohd Hafidz yang merupakan Ketua AMK Kelantan hadir ke Kongres Nasional PKR hari ini lengkap dengan berbaju Melayu berwarna hijau lengkap bersongkok.

Menyentuh soal layanan Pas Kelantan terhadap partinya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, beliau akui PKR sentiasa dilayan sama rata dengan Pas termasuk dalam soal pembahagian peruntukan.

"Lantikan politik ahli-ahli majlis, penghulu-penghulu, penyelia-penyelia, penyelaras-penyelaras dan juga YB-YB, Alhamdulillah...peruntukkannya.... kalau dapat kepada wakil rakyat RM2, wakil rakyat kita pun dapat RM2.

"Kalau mereka dapat RM600,000, kita pun dapat RM600,000. Itu bermakna persahabatan kita dengan Pas masih terjalin dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar pimpinan PKR sering mengadakan perbincangan dengan Pas bagi mencari kerusi untuk PKR di Kelantan.

"Pesanan kita kepada pimpinan, adalah kita ingin melihat persahabatan kita di Kelantan mestilah diberikan makna lebih lagi.

"Bermaksud, mestilah ada rundingan atau perjumpaan yang lebih kerap lagi di kalangan pemimpin-pemimpin di Kelantan dan juga PKR untuk sedikit sebanyak menambah kerusi-kerusi yang perlu ditandingi oleh PKR Kelantan," katanya.

Beliau turut menyeru agar pimpinan tertinggi PKR berusaha memperkuatkan Pakatan Harapan dan pada masa sama menjaga hubungan baik dengan Pas yang sudah sekian lama terjalin itu.


Tiada ulasan: