Sabtu, 28 November 2015

Bekas anggota RCI mahu SB bebas dari pasukan polis

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan digesa untuk mengkaji keperluan untuk Cawangan Khas (SB) bebas daripada pasukan polis bagi menghalang agensi perisikan itu disalahgunakan untuk tujuan politik.

Perkara itu telah dibincangkan panjang lebar oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pasukan Polis pada 2005, kata Datuk J Denison, yang turut menganggotai RCI tersebut.

Menurut Denison, suruhanjaya itu membincangkan sama ada negara ini boleh mencontohi amalan di Australia, New Zealand dan Singapura, di mana agensi perisikan mereka beroperasi secara bebas.

"Suruhanjaya itu bagaimanapun memutuskan untuk tidak (mencadangkan) Cawangan Khas dipisahkan daripada pasukan polis.

"Saya rasa (kita) mungkin perlu memikirkan ini semula kerana (kita harus) memisahkan kerja kepolisan biasa yang berurusan dengan jenayah, dan mereka yang berurusan dengan anti-keganasan dan perisikan," katanya di forum awam mengenai Suruhanjaya Bebas mengenai Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) semalam.

Laporan RCI berkata, "Diperhatikan, bagaimanapun, bahawa mengeluarkan Cawangan Khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan penyelesaian untuk sebarang dakwaan penyalahgunaan Cawangan Khas, kerana yang sama boleh berlaku walaupun jika ia dijadikan sebagai sebuah organisasi bebas".

RCI bagaimanapun berpendapat bahawa agensi perisikan hendaklah bebas daripada pengaruh politik supaya ia boleh menjalankan tugas secara adil. Ia juga dicadangkan bahawa mana-mana garis panduan dan arahan kepada SB, dibentangkan kepada Parlimen.

Forum IPCMC telah dianjurkan oleh Majlis Peguam sempena ulang tahun ke-10 laporan RCI.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Peguam Steven Thiru, Human Rights Society (Hakam) Presiden Negara S Ambiga dan Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan.

Selepas siasatan yang panjang, RCI membuat 125 cadangan, termasuk penubuhan sebuah lembaga penyeliaan luar, IPCMC.

Ditanya sejauh mana cadangan itu telah dilaksanakan, Denison berkata semua cadangan RCI berkaitan hak asasi manusia masih belum dipatuhi.

Katanya, kerajaan dan pihak polis perlu melihat perkara-perkara yang dibangkitkan oleh laporan RCI sekali lagi untuk menyemak kemajuannya.

Tiada ulasan: