Jumaat, 27 November 2015

Bakar kami, Najib juga ikut terbakar, kata Hamidah

Anne Muhammad 





Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang dipecat parti pada Selasa lalu mengingatkan presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak agar tidak terus ‘membakar’ negara.

Katanya, beliau telah menyampaikan amaran itu kepada Najib menerusi pesanan teks ringkas (SMS) namun tidak dibalas.

"Jangan bakar negara, kalau kami terbakar, dia (Najib) juga akan ikut terbakar," kata Hamidah pada sidang medianya di Ipoh hari ini.

Hamidah yang ditemui lengkap berbaju merah warna rasmi Umno. Katanya, beliau juga tidak akan merayu kepada pucuk pimpinan sebaliknya akan menghantar surat memohon penjelasan tentang sebab sebenar dipecat.

"Sehingga hari ini saya masih belum mendapat apa-apa surat. Hanya tahu melalui stesen televisyen. Saya masih kabur mengapa saya dipecat," katanya.

Kata Hamidah, beliau hanya menegur Najib yang didakwa terpalit dengan 1MDB dan juga isu derma bernilai RM2.6 bilion dan ia bukan ditujukan kepada Umno.

Tegur presiden bukan parti

Hamidah turut mempertikaikan, adakah dengan menegur presiden beliau terus dipecat dari parti.

“Saya jelas, saya tegur Najib berdasarkan konteks individu. Saya tegur presiden Umno bukannya parti.

“Bila (saya) tegur (dia) cakap nak runtuh kan parti. Kita tegur sebab apa yang dilakukan presiden itu buat parti runtuh.

“Saya cakap terus terang, saya suarakan presiden untuk undur. Bukan serang parti dan kenapa harus hukum saya,” katanya.

Bagaimanapun beliau menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan menegaskan akan meneruskan perjuangan namun bukan di pentas politik.

“Saya terima lapang dada, hati terbuka dan ada hikmah. Namun perjuangan saya demi negara (dan) rakyat. Mungkin di pentas berbeza dan bukan politik,” katanya.

Hamidah turut menasihati wanita Umno yang lain untuk mempertahankan parti itu demi negara dan bangsa.

Sementara itu, Hamidah ketika disoal wartawan menafikan akan menyertai pembangkang.

“Saya tidak masuk pembangkang, tapi saya lihat rakyat perlu diselamatkan.(Saya) bimbang negara akan hancur. Saya tidak akan diam diri dian tidak akan patah semangat dengan langkah lebih bebas,” katanya.


Tiada ulasan: