Jumaat, 30 Oktober 2015

Tandingi lapan kerusi PAS tidak jejas Pakatan Harapan bentuk kerajaan

pas_dap

Roketkini.com


KUALA LUMPUR - DAP mungkin bertanding di lapan kerusi PAS di Selangor pada pilihan raya umum akan datang dan bersedia ke arah itu, kata Setiausaha Publisitinya, Tony Pua.

Kerusi itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jeras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

tony pua“Inilah lapan kerusi yang kami percaya mempunyai pengaruh ketara dan boleh menang,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu pada sidang media di sini, hari ini.

“Kerusi itu dipilih kerana kami percaya jika berlaku pertembungan tiga penjuru, kami dapat menang dan ia tidak akan menjejaskan cita-cita Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan di Selangor,” katanya dipetik MalaysiaKini.

Keputusan lanjut bagaimanapun akan diputuskan setelah perbincangan Pakatan Harapan Selangor melibatkan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

DAP dan PAS sebelum ini bersekutu melalui Pakatan Rakyat tetapi hubungan itu tidak kekal lama selepas Pakatan Harapan dibentuk.

Mengikut Astro Awani pula, Pua berkata, DAP melantik Pengerusi DAP Bandar Utama, Edry Faizal Eddy Yusof sebagai penyelaras DUN Taman Templer untuk langkah persediaan bagi bertanding di situ.

Ditanya kepada sama ada hasrat itu sudah disampaikan kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Menteri Besar Selangor, Tony berkata, ia tiada kena-mengena dengan Mohamed Azmin Ali.

“Kita bercakap tentang pilihan raya pada 2018. PKR bekerjasama dengan PAS. Apa kena-mengena dengan DAP? PAS sudah kata mereka hendak bertanding di kerusi yang disandang DAP,” kata Pua.


Tiada ulasan: