Jumaat, 30 Oktober 2015

Peguam Anwar akan fail rayuan kes fitnah terhadap Anifah

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR - Peguam Anwar Ibrahim akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak tuntutan saman Ketua Umum KEADILAN itu terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid menolak saman itu selepas mendapati Anwar selaku plaintif gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan.

Anwar Mahkamah

“Walaupun kita menerima keputusan mahkamah tapi kita mempunyai hak untuk merayu dan Anwar akan gunakan hak tersebut,” kata peguam Anwar, Razlan Hadri Zulkifli.

Mahkamah turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM20,000.

Hakim bagaimanapun tidak membaca alasan penghakiman, sebaliknya hanya menyerahkan salinan penghakiman kepada peguam.

Menurut Razlan, hakim membuat keputusan itu selepas berpendapat kenyataan Anifah dibuat secara ‘off-record’ dan sidang media itu berlaku di luar negara.

Anifah diwakili Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam saman yang difailkan 27 Mei 2009, Anwar mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington, ketika Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hadir telah mencemar imej beliau.

Anwar mendakwa Anifah menggambarkan beliau seorang yang tidak layak memegang jawatan politik dan sebarang jawatan lain, dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa kenyataan Anifah, yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah merosakkan keperibadiannya dan secara langsung atau tidak, menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup

Tiada ulasan: