Jumaat, 30 Oktober 2015

Muhyiddin jawab ‘tak tahu’ isu tujuh pemimpin Umno

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada program Bicara Minda, 'Berani Kerana Benar' anjuran Sinar Harian di Johor Bahru, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI


KUALA LUMPUR - Ketika angin terus bertiup kencang berhubung tujuh pemimpin Umno yang akan dikenakan tindakan disiplin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mendedahkan sebarang maklumat sama ada beliau disiasat parti itu.

"Saya tidak tahu apa-apa. Saya hanya baca mengenainya di media," beliau dipetik sebagai berkata ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung tujuh individu yang didakwa sedang disiasat oleh parti tersebut sepertimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan: Kita sudah letih!]

Tengku Adnan sebelum ini berkata, tujuh pemimpin Umno sedang dalam pemerhatian Lembaga Disiplin parti untuk dikenakan tindakan, termasuk digantung keahlian berikutan kelantangan mereka mengeluarkan kenyataan buruk terhadap parti itu.

Tengku Adnan berkata, Umno sudah tidak tahan dengan kenyataan-kenyataan tidak masuk akal  dikeluarkan segelintir ahlinya itu.

“Kita letih dengan ahli yang keluarkan kenyataan bukan untuk orang ramai. Kita siasat dan tengok hasil siasatan. Ada tujuh orang, (tapi) saya tak nak namakan mereka.

“Mereka tahu siapa diri mereka. Parti kita ada set Perlembagaan sendiri, jawatankuasa disiplin. Kita ada kod etika, kita tidak mampu nak berhadapan kegilaan ini lagi,” katanya.


Tiada ulasan: