Khamis, 29 Oktober 2015

Kenapa Tidak Berani Cabar Mahathir Lawan najib Di Kawasan Berkecuali ?




Oleh Shahbudin Husin 


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz semalam mencabar Tun Mahathir Mohamad agar bertanding melawan Najib Razak di kawasan Parlimen Pekan dalam pilihanraya umum akan datang sebagai satu-satunya cara untuk menjatuhkan Perdana Menteri.Kalau tak mahu lawan Najib di Pekan, lawan saya di Padang Rengas, katanya lagi.

Sekali imbas, Nazri kelihatan "agak jantan" bila melontarkan cabaran tersebut meski terselit ciri-ciri angkuh di sebaliknya. Namun hakikat yang sebenarnya langsung tidak ada ciri-ciri "roti canai bertelur" dengan cabarannya itu.

Cabaran itu hanyalah "roti kosong" saja nilainya.

Tun Mahathir pernah memberitahu sebelum ini, tujuan beliau meminta Najib turun daripada jawatannya ialah untuk menyelamatkan UMNO dan negara daripada pelbagai kerosakan yang diakibatkan oleh kepimpinan Perdana Menteri itu.

Tidak dinafikan, hanya berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta saja telah menyebabkan persepsi buruk menyelubungi Najib yang terlalu besar dan sukar untuk dipulihkan.

Sebagai pemimpin yang pernah membina negara selama 22 tahun dengan kepimpinannya, Tun Mahathir hanya ingin memastikan UMNO terus berkuasa dengan meletakkan pemimpin yang tidak terlalu dipertikaikan dan dalam masa yang sama juga negara serta rakyat menjadi sejahtera akhirnya.

Bukan sesekali tujuan Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semula. Beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan tidak menjadi keperluan lagi menambah rekod itu.

Oleh itu, soal beliau mahu bertanding dan menjadi Perdana Menteri semula tidak berbangkit sama sekali.
Tetapi jika pun cabaran Nazri itu mahu diambil kira, beliau sepatutnya membuat cabaran "roti canai telur" terhadap Tun Mahathir.

Kenapa dicabar Tun Mahathir bertanding di Pekan saja?

Cabaran untuk Tun Mahathir melawan Najib seharusnya dicadangkan di kawasan berkecuali di mana-mana saja negeri. Pilih saja sama ada di Pahang, Perak, Johor, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan atau sebagainya?

Bukankah sebagai Perdana Menteri, Najib semestinya ada keberanian untuk bertanding di mana-mana juga kawasan?

Barulah pertandingan itu "perlawanan jantan" yang seimbang, menarik dan "cun"?

Kalau pun Najib tidak mahu jauh daripada kawasannya di Pekan, apa kata pertandingan itu dilakukan di Parlimen Kuantan atau Indera Mahkota, dua kawasan Parlimen yang selama ini menjadi jirannya?

Kalau susah-susah sangat, berlawanlah di kawasan lama Tun Mahathir iaitu Kubang Pasu saja?

Begitu juga jika Nazri merasakan dirinya "super hebat" untuk berlawan dengan Tun Mahathir, buatlah cabaran untuk bertanding di kawasan lain selain Padang Rengas?

Teluk Intan boleh, Kampar boleh, Ipoh atau Tambun pun boleh?

Ada berani ke? Atau Nazri pun sebenarnya hanya "roti kosong" yang suka "cakap kosong" juga?

Tiada ulasan: