Khamis, 29 Oktober 2015

Beradab bukan biadab apabila bangkang



Oleh Zulkiflee Bakar


PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan isyarat jelas kepada pakatan pembangkang yang disertai oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) bahawa biarpun Pas adalah parti pembangkang tetapi “kita mahu menjadi Ahli Parlimen yang membangkang secara beradab.”

Kalau dikaji sejak 2008 lagi apabila pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, pakatan pembangkang dilihat semakin ‘naik tocang’. Mereka me­lakukan pelbagai tindakan yang memualkan apabila sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Hujah-hujah yang dibentangkan ketika perbahasan pula lebih banyak menjurus kepada tuduhan dan tohmahan bukannya berdasarkan kepada fakta apatah lagi mahu menjadi barisan pembangkang yang berfungsi sebagai ‘check and balance’ kepada pemerintahan kerajaan.

Sesungguhnya kita akui, pe­ranan pembangkang adalah pen­ting bagi memastikan pengurusan pentadbiran negara dikendalikan dengan baik dan sempurna demi kesejahteraan rakyat secara kese­luruhannya.

Tetapi malangnya, pakatan pembangkang lebih banyak menjadikan Parlimen seolah-olah ge­langgang politik. Mungkin juga mereka semakin menyedari ce­ramah-ceramah yang dianjurkan tidak mendapat sambutan maka sidang Dewan Rakyat menjadi ‘pentas politik’ mereka.

Justeru kenyataan Abdul Hadi membuktikan beliau mahu barisan pembangkang di Dewan Rakyat berubah sikap. Kalau hendak me­lakukan bantahan atau mengetengahkan sesuatu isu biarlah ia secara beradab bukan biadab.

Tindakan mengangkat plakad seperti mana berlaku sejurus selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 seharusnya tidak harus diulangi kerana mungkin ‘budak-budak tadikapun’ tidak akan berbuat demikian.

Sebahagian besar ahli-ahli Parlimen pakatan pembangkang semuanya berpengalaman dan sudah memahami apa tanggungjawab mereka. Tetapi malangnya sebahagian mereka dilumuri dengan pemikiran politik kepartian yang menebal justeru sudah hilang pertimbangan bagaimana mahu menjadi ahli Parlimen yang beradab.

Oleh itu diharapkan pendekatan baharu yang diamalkan oleh Pas akan turut dicontohi oleh DAP, PKR dan Amanah. Kalau mahu berpolitik biarlah pada masa dan tempat yang sesuai, bukannya di bangunan yang menjadi platforom penting dalam menentukan arah tuju pengurusan negara.

Sepatutnya pakatan pembangkang sudah matang iaitu berpolitik ketika musim pilihan raya sahaja. Kalau mahu menganjurkan program politik silakan itu hak parti-parti masing-masing tetapi apabila melangkah masuk ke Dewan Rak­yat maka jadilah wakil rakyat yang benar-benar berjuang untuk rakyat dengan mengetengahkan isu-isu bagi membela mereka.

Dalam mengetengahkan isu itu biarlah dalam proses meminta penerangan, penjelasan atau mengemukakan permohonannya bukan melalui tohmahan, fitnah atau kecaman yang kesudahannya hanya menyebabkan pembaziran wang rakyat kerana salah guna terhadap keistimewaan Dewan Rakyat. - utusan.com.my

Tiada ulasan: