Rabu, 28 Oktober 2015

1MDB: Mana boleh Menteri Kewangan jawab begitu

1MDB: Mana boleh Menteri Kewangan jawab begitu
Tony Pua bercakap di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Sinar Online oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mempertikaikan jawapan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkannya tidak bertanggungjawab.

Topy meminta Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan sama ada 1MDB masih berhutang sebanyak AS$ 481 juta seperti yang tercatat dalam Laporan Audit International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk Disember 2014.

"Menteri Kewangan mengatakan bahawa mana-mana pihak berhak menentukan kaedah laporan penyata kewangan mereka. Ini satu kenyataan yang cukup tidak bertanggungjawab kerana Laporan Audit IPIC ditandatangani oleh auditor antarabangsa, Ernst & Young (EY). Bukan auditor Tony Pua atau auditor siapa-siapa.

"EY telah pun menafsirkan bahawa memang ada hutang AS$481 juta daripada 1MDB kepada IPIC. Mana boleh Menteri Kewangan berkata "itu dia (IPIC) punya pasal. Itu masalah IPIC, apa dia nak tulis, apa dalam akaun mereka itu masalah mereka, tak ada kena mengena dengan 1MDB." Tak bolehlah begitu," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Najib dalam jawapan bertulisnya hari ini berkata, "Tuan Yang Dipertua, Nota dalam Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 31 Mac 2014 dengan jelas menyatakan bahawa tiada jumlah tersebut yang ditanggung oleh 1MDB terhadap IPIC. Ingin ditekankan juga bahawa mana-mana pihak berhak menentukan kaedah pelaporan penyata kewangan mereka."

[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB tak berhutang dengan syarikat Abu Dhabi]

Tegas Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas 1MDB, Kementerian Kewangan perlu mendapatkan penjelasan sama ada hutang itu wujud atau tidak.

"Jika tidak, IPIC perlu mengeluarkan kenyataan bahawa itu merupakan satu kesalahan dalam laporan audit mereka. Kita tak boleh biarkan laporan audit yang dibuat IPIC ada hutang tapi laporan audit 1MDB tak ada hutang. Ada yang tak kena dengan akaun 1MDB ini.

"Keenganan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penafian ataupun penjelasan daripada IPIC, memberi gambaran kepada rakyat dan ahli-ahli Parlimen bahawa memang ada udang di sebalik batu...memang 1MDB sedang menyembunyikan cerita sebenar yang berlaku dalam penebusan opsyen daripada Aabar," katanya.

Sebelum ini 1MDB pernah menjelaskan bahawa bayaran AS$1 bilion (RM3.6 bilion) diterima daripada IPIC, Abu Dhabi bukan pinjaman.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda, berkata bayaran berkenaan adalah transaksi perniagaan, bukan pinjaman atau tindakan menyelamat.

Sementara itu, dalam soalan sama, Tony juga meminta kementerian mendedahkan jumlah pembayaran yang telah dibuat 1MDB untuk menebus opsyen syarikat Powertek Investment Holding dan 1MDB Energy (Langat) daripada Aabar Investment.
Namun, soalan itu tidak dijawab.

"Kenapa soalan saya ini tidak dijawab? Ini penting kerana ia akan menentukan sama ada laporan Audit yang diterbitkan oleh 1MDB itu tepat atau salah.

"Saya rasa itulah sebabnya menteri kewangan enggan memberikan jawapan kerana jika jawapan diberi, ia akan menunjukkan bahawa 1MDB telah pun memalsukan laporan Audit mereka bagi Mac 2014," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: