Selasa, 29 September 2015

Wisma Putra batal arahan panggil Duta China

 
Pembatalan itu dibuat oleh Wisma Putra menerusi sekeping surat yang dikeluarkan pada Isnin atas arahan Pemangku Menteri Luar.


wisma-putra-china


PETALING JAYA: Pemangku Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin telah membatalkan arahan memanggil Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang yang telah dibuat oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sin Chew Online melaporkan, pembatalan itu dibuat menerusi sekeping surat yang dikeluarkan oleh pihak Wisma Putra.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Reezal Meracan Naina Merican memanggil Huang ke Wisma Putra selepas mengeluarkan kenyataan yang dianggap sebagai campurtangan daripada pihak asing ketika melakukan lawatan di Petaling street baru-baru ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tindakan Reezal itu tidak mengikut protokol kerana hanya Menteri Luar boleh mengeluarkan arahan itu selepas berunding dengan Perdana Menteri.

Reezal dikatakan bertindak demikian dengan tujuan mahu menyoal siasat Duta berkenaan ekoran kenyataannya itu.

Bagaimanapun, Huang dalam kenyataan selepas itu membidas tuduhan Reezal dengan menyatakan bahawa kunjungannya itu sebagai satu lawatan muhibbah.

Huang juga menyatakan bahawa beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada Wisma Putra walaupun Kementerian Luar menerusi kenyataan media pada Ahad mengesahkan memanggil Duta China ke Malaysia itu unttuk mendapatkan penjelasan.

Hamzah merupakan bekas Timbalan Menteri Luar dan dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selepas rombakan 28 Julai lalu.

Reezal Merican pula pertama kali dilantik ke dalam Kabinet sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri.

Tiada ulasan: