Ralli baju Merah yang diadakan dua hari lepas sudah berlalu. Seramai 80,000 orang Melayu telah berhimpun dan masing-masing pemimpin berucap dalam nada perkauman yang menebal. Perhimpunan itu kononnya ialah reaksi terhadap ralli Bersih 4 yang diadakan pada 29hb dan 30 Ogos yang lalu. Jika ia benar merupakan reaksi terhadap perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini, maka perhimpunan baju merah itu hanyalah untuk mempertahankan Najib yang kini berhadapan dengan tuntutan rakyat supaya Najib berundur dari jawatan yang beliau amat sayangi itu.
Perhimpunan Baju Merah adalah perhimpunan orang Melayu sedangkan
perhimpunan Bersih 4 ialah perhimpunan berbilang kaum bagi menuntut
Najib berundur dari memimpin negara. Apapun sebabnya persoalan yang
timbul sekarang adalah apakah faedah-faedah yang didapati dari
perhimpunan orang Melayu yang dianjurkan dari belakang oleh UMNO itu? Ia
membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Yang terbaik ialah jika ada apa-apa tuntutan dari rakyat ia wajar
diwakili oleh rakyat berbilang kaum kerana kumpulan yang berbilang kaum
itu adalah elemen penting bagi menampakkan yang rakyat berbilang kaum
itu bersatu dan berpadu serta selenggang dan sehayun dalam apa sahaja
yang dituntut itu. Elemen itu nampak jelas dalam perhimpunan Bersih 4
dan perhimpunan Bersih yang sebelumnya. Himpunan Baju Merah dua hari
lepas yang menggambarkan orang Melayu sahaja yang bermasalah dan masalah
yang ditampilkan tidak lain dari permainan isu perkauman yang menebal
seolah-olah kaum Melayu itu boleh hidup tanpa adanya kaum lain di negara
ini.
Slogan dan kain rentang yang menyuburkan perasaan benci membenci di
antara kaum sangat jelas di lihat dalam perhimpunan Melayu baju merah
itu. Telah menjadi pengetahuan umum perhimpunan itu adalah perhimpunan
anjuran UMNO dan diberikan bantuan kewangan dari UMNO. Perhimpunan
anjuran UMNO itu amat mahal harganya kerana ramai-ramai yang datang itu
dibayar elaun dan perjalanan percuma. Selain dari itu makan dan minum
serta baju T percuma dan berbagai-bagai 'hand-outs' yang lain.
Tetapi sedarkah pemimpin-pemimpin UMNO ini yang perlakuan mereka ini
telah menghilangkan kewibawaan mereka sebagai pemimpin parti yang
memerintah? Tindakan mereka ini telah menghilangkan identiti UMNO itu
sendiri serta kewibawaan pemimpin yang memimpin parti itu?
Hilang segala imej dan keyakinan ramai yang UMNO itu adalah parti yang
memimpin semua kaum. UMNO kini hanya memimpin orang Melayu dan sifatnya
kini hanyalah parti yang dipimpin oleh mereka yang chauvinis. Semakin
terhakis kepercayaan rakyat yang UMNO tidak seperti dulu di mana parti
itu adalah parti orang Melayu tetapi ia adalah juga parti yang menjaga
semua rakyat yang lain.
Itulah sebab utama kenapa berlakunya perhimpunan Bersih 4. Bersih 4 itu
kalau kita tinjau dari sudut yang betul, tidak ada siapa yang boleh
menafikan yang ianya berlaku kerana mereka mahukan pimpinan yang
memerintah bersifat pemimpin untuk semua kaum. Kalau kita ambil secara
positif ianya adalah kumpulan yang bukan hendak membuang atau
mengenepikan UMNO tetapi mereka mahukan pimpinan UMNO yang boleh
diterima oleh semua masyarakat negara ini. Ia bermakna mereka tidak mahu
pimpinan UMNO dibawah Najib kerana masalah ini tetapi mereka mahu
pimpinan dari parti yang sama yang lebih diterima oleh semua kaum.
Itu sebabnya ramai dikalangan pemimpin UMNO yang sedar tentang keadaan
ini mahukan Najib berundur bagi mengelak dari UMNO itu terbuang kerana
pemimpin yang tidak baik dan kotor sedang menempel pada batang tubuh
parti itu dan tidak mahu bercerai dari memimpinnya. Justeru itu
seandainya pemimpin hari ini diganti dan dianjakkan kepada pemimpin
Melayu yang diyakini oleh semua kaum, maka keadaan sekarang akan menjadi
lebih baik bagi orang Melayu dan semua kaum di negara ini.
Rakyat tidak mahu lagi diminta untuk bersatu tetapi kesatuan kita di
bawah ini diperguna untuk mereka melakukan kerja rasuah tanpa halangan
dan tidak terbatas. Kita tidak mahu bersatu di bawah kepimpinan yang
tidak jujur. Bagaimana kita untuk katakan pemimpin kita terutamanya yang
dipucuk kepimpinan sekarang ini yang sarat dengan isu-isu rasuah dan
keji ini. Bagaimana rakyat mahu mempertahankan kepimpinan yang tidak
berjaya menjaga imej yang baik dan sentiasa dalam keadaan defensif dalam
semua isu yang menakutkan rakyat itu? UMNO di bawah Najib tidak akan
berjaya untuk mencapai matlamat UMNO yang 'ultimate' iaitu membentuk
negara yang bersatu padu yang selalu disebut sebagai 'national unity'
itu. Sesungguhnya UMNO sudah hilang segala identitinya.
Imej yang ada kepada mereka yang memimpin kerajaan pada hari ini
bukannya imej UMNO yang sebenarnya. Kita rakyat yang ramai ini sentiasa
cuba diperbodohkan setiap masa dan mereka menganggapkan yang rakyat
ramai ini tidak mempunyai otak, sebaliknya penuh dengan pasir dalam
kepala kami. Najib tidak boleh hidup tanpa berbohong dalam semua isu
terhadap beliau. Seorang Perdana Menteri yang 'average' tidak akan
berhadapan dengan isu panas seperti beliau.
Jika wang yang beliau simpan sebanyak RM 2billion di Singapura boleh
dibekukan oleh 'monetary authority of Singapore' apa kah ini masih
melayakkan beliau terus memimpin kita? Dari segi moral dan etikanya
beliau sudah tidak layak untuk memimpin lagi. Di negara-negara maju
orang seperti Najib ini sudah lama berhenti dan berehat dan buat kerja
lain untuk membantu membina negara. Jika Najib benar-benar jujur mahu
melihat negaranya maju beliau perlu berkorban dan bersara sahaja.
Telah disebut oleh blog ini acapkali, ada pemimpin boleh menyumbang
terhadap negara dengan memegang jawatan dan ada pemimpin hanya boleh
menyumbang terhadap negara dengan meletakkan jawatan. Masing-masing ada
cara dan peranan masing-masing untuk menyumbang kepada negara. Bagi
Najib sumbangan beliau kepada negara ialah dengan melepaskan semua
jawatan beliau dalam kerajaan dan parti dan bersara. Nescaya rakyat
akhirnya akan menerima tindakan beliau itu sebagai sumbangan besar
beliau kepada negara kita ini.
Najib patut sedar yang tidak ada tempat awam yang kita tidak mendengar
soalan di antara satu dengan lain yang berbunyi, 'bila si Najib ini
hendak berhenti hah?'. Bagaimanakah Najib hendak mendapatkan keberkatan
dari kepimpinannya jika semua rakyat jelas tidak mahu beliau berada di
tempatnya lagi? Yang tinggal menyokongnya hanya mereka yang menjaga
kepentingan diri dan mereka adalah dari kumpulan elit UMNO itu sahaja.
Di mana-mana rakyat sedang menunggu beliau bersara dan elok jika beliau
memahami keadaan ini dan penuhi kehendak rakyat itu. Tidak berguna
beliau mundar mandir ke Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan sokongan
dengan memberikan janji yang berbagai yang semua orang tahu beliau tidak
akan mampu menguruskan nya. Tindakan membeli masa ini akan akhirnya
menjatuhkan beliau sendiri.
Janji-janji terhadap Sabah dan Sarawak itu dibuat di waktu yang genting,
bak kata orang 'sudah hendak berak baru menggali lubang.'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan