KUALA LUMPUR,  Tindakan disiplin ke atas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos hanya akan ditentukan sehingga siasatan polis selesai sepenuhnya.


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata buat masa ini perkara tersebut masih belum dibangkitkan di peringkat pimpinan tertinggi Umno.

“Apa pun kita perlu menunggu sehingga siasatan polis selesai terlebih dahulu.

“Kalau ada kes jenayah, sudah tentu pihak Lembaga Disiplin Umno akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kelmarin, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu itu ditahan selepas beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan, pada jam 8.50 malam.

Beliau ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan seseorang individu itu, supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Jamal kemudiannya dibebaskan di IPD Dang Wangi pada jam 8.30 malam semalam.