Ahad, 27 September 2015

Tiada masalah Melayu berniaga di Jalan Petaling

Tiada masalah Melayu berniaga di Jalan Petaling
Peniaga-peniaga tiada masalah jika peluang perniagaan dibuka untuk semua kaum di Jalan Petaling, sekali gus dapat memupuk keharmonian kaum di situ.
 

KUALA LUMPUR - Rata-rata peniaga di kawasan Jalan Petaling tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya orang Melayu ingin turut berniaga di kawasan itu.

Peniaga minuman, Ng Lee Yam, 53, berkata, kerajaan perlu membina ruang yang lebih luas untuk membolehkan lebih ramai berniaga di Jalan Petaling.

“Masalah yang dihadapi oleh peniaga di sini adalah ruang yang terhad dan kerajaan perlu perbesarkan lagi kawasan ini bagi menambah jumlah peniaga yang ramai.

“Saya lagi seronok apabila ramai orang berniaga kerana orang Melayu, Cina dan India semuanya kawan dan tidak ada masalah untuk bekerja bersama-sama. Pelancong juga boleh kenal makanan setiap bangsa di sini,” jelasnya.

Katanya, keharmonian kaum juga mampu dipupuk sekiranya kawasan perniagaan Jalan Petaling berjaya diperluaskan, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada kaum Melayu dan India.

Sementara itu, peniaga kain di Jalan Petaling, Mohd Faisal Abdul Rahim, 30, berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sepanjang membuka perniagaan di kawasan tersebut.

“Saya boleh membuka perniagaan dan berniaga sama seperti mereka (kaum Cina). Tidak timbul masalah perkauman di sini,” katanya.

Kata Mohd Faisal, isu kaum Cina memonopoli perniagaan di sekitar Jalan Petaling sebenarnya tidak timbul kerana kawasan itu sudah sinonim dengan masyarakat berkenaan.


Menurutnya, masyarakat Cina telah berniaga di Jalan Petaling sejak puluhan tahun dahulu dan ia berterusan sehingga ke hari ini.

“Situasi itu sama seperti orang Melayu yang berniaga di Chow Kit dan Masjid Jamek dan juga kaum India di Brickfield.

“Jadi saya tidak faham kenapa ada suara-suara yang mempersoalkan mengenai perniagaan kaum Cina sedangkan sebelum ini ia berjalan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja, Irdiansyah Azri berkata, tiada tekanan ataupun sentimen perkauman yang cuba ditimbulkan kepadanya kerana meniaga di kawasan itu.

Dia yang menjaga sebuah kedai kain milik peniaga Cina juga mengakui majikannya seorang yang baik hati.

“Majikan saya tidak pernah perlekehkan pekerja Melayu seperti kami dan tetap mengambil orang Melayu bekerja,” katanya.


Tiada ulasan: