Isnin, 28 September 2015

Ternakan lokan bakal jadi produk pelancongan di Melaka

Bernama
Ternakan lokan bakal jadi produk pelancongan di Melaka
Kerajaan turut berhasrat untuk mewujudkan pusat penyelidikan lokan.
 

ALOR GAJAH: Ternakan lokan di Sungai Linggi, Alor Gajah di sini akan dijadikan tarikan baharu di kawasan tersebut bagi meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke negeri ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya bersama kerajaan negeri akan membantu pengusaha ternakan lokan di kawasan tersebut dengan meneroka potensi dan peluang dalam perusahaan tersebut.

"Produk lokan ini sudah sedia diusahakan namun ia perlu dibantu untuk dikomersial serta disokong dengan kemudahan sepatutnya daripada pihak-pihak berkaitan supaya hasilnya dapat ditingkatkan dan dipelbagaikan seterusnya memberi pulangan ekonomi kepada pengusahanya.

"Kerajaan turut berhasrat untuk mewujudkan pusat penyelidikan lokan bagi menjalankan kajian dan pembangunan mengenai hidupan berkenaan agar potensinya dapat dikembangkan lagi ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh dua tahun dari sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Aidiladha Amanah Ikhtiar Malaysia di Masjid At-Taqwa, Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah di sini hari ini.

Mas Ermieyati yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah berkata pihaknya merancang untuk memperbanyakkan lagi kawasan pelancongan di kawasan Masjid Tanah dalam tempoh lima tahun lagi di samping mengkomersialkan segala produk pelancongan sedia ada di kawasan tersebut.

"Masjid Tanah mempunyai banyak aset pelancongan termasuklah Sungai Linggi yang mana ia perlu dipelihara sebaiknya kerana mampu menjadi sumber ekonomi kepada penduduk setempat selain dapat menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Tiada ulasan: