Ahad, 27 September 2015

Penahanan Khairuddin di bawah Sosma tidak sah

Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan
 
 
SHAH ALAM -  Penahanan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma),  tidak sah di sisi undang-undang.

Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam),  Datuk S Ambiga berkata, Sosma bertujuan menangani kesalahan yang memudaratkan keselamatan awam dan negara, atau Persekutuan atau mana-mana bahagian Persekutuan.

Namun Ambiga berkata, timbul persoalan adakah tindakan Khairuddin memfailkan laporan di luar negara berkenaan 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) memudaratkan keselamatan awam dan negara.

“Laporan  tersebut mungkin telah menyebabkan sesetengah pihak berasa tidak selesa tetapi itu tidak boleh menjadi asas bagi satu penangkapan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ambiga berkata, Hakam mengambil pendirian sama dengan Majlis Peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk warga Malaysia, mengecam tindakan yang disifatkan sebagai menindas dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.

Katanya, dalam perbandingan begitu ketara, individu yang mengugut untuk mengadakan rusuhan di Jalan Petaling pula dipandang ringan.

“Ini menyerlahkan lagi penyalahgunaan kuasa dan tindakan-tindakan penguatkuasaan ini mempunyai agenda politik,” katanya.

Justeru, kata Ambiga, Khairuddin patut dibebaskan dengan segera dan sikap pihak berkuasa yang giat mencabul hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya mestilah dihentikan.

Jumaat lalu, Khairuddin ditahan polis di rumahnya di Mont Kiara beberapa hari sebelum mengadakan pertemuan dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, esok.

Beliau dibebaskan setelah ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan, bagaimanapun ditangkap semula ketika beliau meninggalkan kompleks mahkamah di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan atas kesalahan mengancam keselamatan negara.


Tiada ulasan: