Rabu, 30 September 2015

P Pinang terima 40,000 vaksin anti anjing gila

SINAR HARIAN



penyakit anjing gila
Gambar hiasan
GEORGETOWN - Perkhidmatan Veterinari Sedunia (WVS),‎ sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar di United Kingdom, akan membekalkan 40,000 stok vaksin mencegah penyakit anjing gila kepada Pulau Pinang bagi menangani wabak penyakit itu.
Ketua Eksekutifnya, Luke Gamble berkata, vaksin itu perlu melalui pelbagai‎ proses tetapi ia dijangka tiba di Malaysia dalam tempoh dua bulan akan datang.  
Beliau berkata program utama itu akan dijalankan oleh sepasukan daripada‎ WVS, dan vaksin tersebut akan ditaja sepenuhnya.
"Kami bercadang memberi suntikan vaksin kepada kira-kira 70 peratus daripada jumlah anjing di Pulau Pinang dalam tempoh enam bulan dengan bantuan pasukan kami," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini semalam.
Beliau berkata vaksin itu perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan‎ Veterinar (DVS) di Malaysia, sebelum ia boleh digunakan di jalanan.
Gamble berkata jumlah anjing di Pulau Pinang ialah kira-kira 50,000 ekor dan sasarannya ialah untuk memastikan 70 peratus anjing diberikan suntikan.
Sementara itu, Ketua Penolong Kanan Pengarah Bahagian Pengurusan Biosekuriti dan Sanatary Phytho Sanitary, Dr Rozanah Asmah Abd Samad berkata menurut prosedur operasi standard, semua vaksin baharu perlu diperiksa oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum ia dibenar untuk digunakan.
"Memandangkan situasi kecemasan masa kini, kami mungkin mengambil masa selama sebulan untuk menilai vaksin yang dibekalkan oleh WVS sebelum meluluskannya untuk digunakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kira-kira 750 dos vaksin yang dibekalkan oleh kerajaan persekutuan akan tiba di Pulau Pinang Jumaat ini.
Beliau berkata jabatan itu telah mengagihkan semua vaksin kepada beberapa negeri untuk menangani wabak penyakit anjing gila dan Pulau Pinang akan menerimanya menjelang Jumaat ini.
"Kerajaan Pulau Pinang juga memesan 5,000 lagi stok vaksin tetapi kami belum dapat memastikan bila tarikh vaksin itu akan tiba," katanya.  
Menurut data oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 90 kes gigitan anjing dilaporkan sejak 16 Sept di Pulau Pinang, dan 883 ekor anjing liar telah ditangkap atau dihapuskan.
Ia juga melaporkan bahawa 12 ekor anjing telah dikuarantin, manakala 443 ekor anjing telah diberi suntikan. - Bernama

Tiada ulasan: