Ahad, 27 September 2015

Khairuddin Abu Hassan - pengkhianat negara atau pembela demokrasi?



Oleh Wong Chin Huat


Kalau untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri perlukan tindakan daripada sistem pengadilan negara asing, kerana sistem pengadilan negara sendiri tidak boleh dipercayai, apakah itu pengkhianatan kepada negara?

Soalan inilah yang kita harus tanya bila ingin memutuskan sama ada penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan) oleh polis itu munasabah.

Beliau pada mulanya ditahan pada 18 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen).

Sebaik saja beliau melangkah keluar Mahkamah Majistret yang membebaskannya, beliau ditahan semula oleh polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana kesalahan Seksyen 124K (sabotaj) dan 124L Kanun Keseksaan (cubaan melakukan sabotaj).
Sosma membenarkan penahanan tanpa bicara selama 28 hari.

Apakah Khairuddin lakukan yang "memudaratkan demokrasi berparlimen" dan boleh diklasifikasikan sebagai "sabotaj" dan "cubaan untuk melakukan sabotaj"?

Jawapan diberi Ketua Polis Negara Tan Sri Tan Sri Khalid Abu Bakar:”Khairuddin seharusnya memberi ruang dan peluang kepada agensi penguatkuasa tempatan untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).”

"Namun, beliau tetap memilih untuk menggunakan saluran perundangan asing khususnya Britain, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat dengan tujuan mengenakan tekanan antarabangsa ke atas Malaysia."

Sememangnya Khairuddin ditahan sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk bertemu dengan agen Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Tiada undang-undang di Malaysia yang mengharamkan atau menghukum rakyat Malaysia menggunakan sistem penguatkuasaan negara asing, sama ada untuk kes sivil atau kes jenayah.

Kalau kita dirompak di New York, takkan kita nak lapor kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan bukan New York Police Department (NYPD)?

Tak kan PDRM nak rasa cemburu pada NYPD kerana rakyat Malaysia itu seolah-olah tidak percayakan PDRM. Sebaliknya, kalau seorang pelancong dari New York dirompak di Bukit Bintang, sudah tentu beliau membuat laporan kepada PDRM dan bukan NYPD.

NYPD juga tidak akan cemburu pada PDRM kerana pelancong New York itu membuat laporan di Kuala Lumpur.

Ini cara dunia moden beroperasi. Badan-badan penguatkuasa tidak berlagak macam kekasih yang suka-suka naik cemburu.

Bagaimana penyalahgunaan praktis ini dapat dielakkan?

Jawapannya mudah sekali: kerelevanan, atau, dalam cakap orang biasa "kena ada kes".

Kalau dirompak di New York, buat laporan di Los Angeles Police Department (LAPD) pun tidak akan terima kerana jenayah itu tidak jatuh dalam lingkungan kuasa LAPD.

Sebaliknya, jika sesuatu kes itu melibatkan 2 sistem pengadilan, maka kedua-duanya mempunyai kuasa untuk mengadili kes itu. Satu contoh yang lazim ialah kes perebutan hak penjagaan anak apabila suami isteri yang berlainan kewarganegaraannya berpisah.

Maka, Khairuddin tidak dapat "menyalahgunakan" - jika ada pihak yang ingin membuat tuduhan sebegitu - sistem penguatkuasaan negara asing jika "tiada kes".

Maka, jika Khairuddin memang ada kes yang boleh menarik kepedulian sistem penguatkuasaan negara asing, apakah salahnya?

Daripada kenyataan ketua polis negara, nampaknya kesalahan pertama Khariuddin adalah kerana ia tidak mempercayakan agensi penguatkuasa tempatan.

Kalau begitu, agaknya berapa orang Malaysia yang turut bersalah kerana tidak percayakan Jabatan Peguam Negara yang ketuanya boleh dipecat tiba-tiba, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pegawai kanannya boleh dipindah tiba-tiba ke agensi di bawah orang disiasat yakni Jabatan Perdana Menteri, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang boleh dilumpuhkan dengan pelantikan ahlinya sebagai menteri dan timbalan menteri, dan polis yang tidak seganbsilu menunjukkan dwi-piawaian dalam penguatkuasaan?

Apa sudah terjadi kepada negara kita kalau rakyat terpaksa dihukum untuk mengelakkan ketidakpercayaannya terhadap badan penguatkuasa kita ditunjukkan?

Kepercayaan adalah kata kekunci di sini.

Demokrasi berparlimen yang pihak pemerintah sentiasa sebutkan berdasarkan kepercayaan.
Di bawah demokrasi berparlimen, ketua pemerintah iaitu perdana menteri tidak mempunyai jaminan kerja dan boleh "dipecat" oleh Parlimen pada bila-bila masa jika kepercayaan Parlimen terhadap perdana menteri berjaya digoncangkan.

Kerana itu, demokrasi berparlimen tidak dapat berfungsi jika rakyat tidak bebas mempersoalkan kebolehpercayaan perdana menteri dan Parlimen tidak bebas menentukan sama ada kepercayaan kepada perdana menteri harus ditarik balik.

Malangnya, itu yang berlaku di Malaysia sejak 27 dan 28 Julai, bermula dengan pemecatan tergempar peguam negara dan rombakan Kabinet.

Najib yang tidak segan silu gelar dirinya "wira Bugis" takut sekali untuk menyahut cabaran yang dibuat Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah pada 19 Ogos iaitu mengemukakan usul undi percaya di Parlimen.

Jika Najib berjaya memenangi undi percaya di Parlimen, maka beliau berhak terus berkuasa.

Najib bukan saja larikan diri daripada cabaran Maria, malah beliau sekarang gunakan Sosma - yang dijanjkan hanya untuk pengganas - untuk menahan Khairuddin tanpa bicara.

Apakah Khairuddin ini pengganas? Adakah beliau pengkhianat negara?

Tidak, beliau cuba sedaya upaya mempersoalkan kebolehpercayaan Najib sebagai perdana menteri. Kerana beliau tidak percaya badan penguatkuasaan kita, maka beliau ingin membawa bukti kepada badan penguatkuasaan negara asing.

Sesiapapun boleh tidak setuju dengan dakwaan Khairuddin, Najib melakukan jenayah dalam skandal 1MDB. Muktamadnya, selagi Najib tidak diheret ke penjara negara asing, Parlimen boleh menyatakan kepercayaan kepada Najib.

Sama ada ingin percaya pada Najib adalah hak Parlimen. Sama ada ingin buktikan kesalahan Najib adalah hak Khairuddin.

Sesiapa yang cuba menyekat hak Parlimen untuk mengambil ketetapan untuk sama ada percaya atau tidak percaya kepada perdana menteri, merekalah yang melakukan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen dan melakukan sabotaj kepada negara.

Bukan Khairuddin.

Sesiapa yang cuba menyekat hak Khairuddin atau mana-mana warga negara untuk membuktikan atau menidakkan kebolehpercayaan perdana menteri, merekalah yang melakukan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen dan melakukan sabotaj kepada negara.

Bukan Khairuddin.

Khairuddin membantu demokrasi berparlimen di Malaysia berfungsi dengan mengemukakan soalan terpenting kepada mana-mana pemerintah di bawah demokrasi berparlimen: Bolehkah Parlimen percaya kepada perdana menteri?

Tak kira apa niatnya dan agendanya, Khairuddin pembela demokrasi.

Bebas! Bebas! Bebas Khairuddin!

Tiada ulasan: