Ahad, 27 September 2015

Jerebu: UiTM di Selangor tangguh kuliah esok

MALAYSIAKINI


 


Universiti Teknologi Mara (UiTM) menangguhkan jadual kuliah di semua cawangannya di Selangor esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat hari ini.

Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata penangguhan kuliah pada hari-hari berikutnya pula akan diumumkan sehari sebelum tarikh penangguhan berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, katanya penangguhan itu hanya melibatkan jadual kuliah penuntut sahaja dan warga kerja UiTM dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.

"Bagi kampus-kampus di negeri lain pula, makluman mengenai penangguhan kuliah adalah berdasarkan bacaan IPU, namun ia tertakluk kepada keputusan Rektor Kampus masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar hari ini, setakat 2 petang tadi, tiga kawasan merekodkan IPU sangat tidak sihat berbanding lima pada 11 pagi tadi.

Shah Alam mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 239 diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (228), dan Pelabuhan Klang (215).

Sementara itu, Univesiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) juga menangguhkan semua kuliahnya di kampus bandar raya ini esok berikutan jerebu.

Kumpulan Pengurusan UTMKL dalam catatan di laman Facebook hari ini berkata keputusan itu dibuat kerana bacaan IPU di Wilayah Persekutuan mencatatkan bacaan melebihi 200 iaitu tahap udara sangat tidak sihat.

Kuliah-kuliah berkenaan akan disambung semula pada Selasa (29 Sept).

Semua kakitangan dan penuntut UTMKL juga diminta mengikuti maklumat semasa berhubung jerebu yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.- Bernama


Tiada ulasan: