Ahad, 27 September 2015

Jerebu: Malaysia tak ikut standard global ukur pencemaran

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia menggunakan  bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang jauh lebih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Katanya, kebanyakan negara, termasuk Singapura dan Indonesia menggunakan bacaan kualiti udara berdasarkan standard 2.5 mikron partikel (PM2.5) dan bukan PM10 seperti digunapakai Jabatan Alam Sekitar (JAS).

putrajayaBagaimanapun, katanya, Malaysia terus menggunakan standard PM10, yang menyebabkan  ukuran pencemaran udara yang lebih rendah berbanding negara lain.

“Amalan ini menyebabkan ukuran indeks di Malaysia jauh lebih rendah. Ia hanya memberi gambaran positif tetapi sekadar ilusi tentang keadaan sebenar kualiti udara negara kita,” ujarnya pada kenyataan media.

Katanya, kerajaan BN gagal mengambil kira bahaya kesihatan yang lebih besar akibat zarah jerebu yang lebih halus dan boleh menjejaskan kesihatan termasuk kerosakan paru-paru.

Selain itu, beliau juga kecewa apabila JAS pada 2012 menyatakan bahawa standard berkenaan hanya akan digunapakai di Malaysia pada tahun 2016.

Justeru Wong Chen menggesa kerajaan pusat mengikut standard antarabangsa dalam menyediakan bacaan berdasarkan PM2.5 seperti digunakan di kebanyakan negara lain.

Beliau turut meminta kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor menggunakan standard yang sama dengan negara lain dan mengeluarkan laporan setiap jam sebagai alternatif kepada bacaan IPU oleh JAS.

Tiada ulasan: