KULAI,  Empat orang pelajar sekolah menengah cedera apabila bas sekolah yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terjunam ke dalam parit di Jalan Seelong, Senai di sini.


Mangsa terdiri daripada dua orang pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan yang mana salah seorang daripada mereka patah di bahagian bahu, dalam insiden yang berlaku pada jam 6.45 pagi itu.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kulai bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa selama 20 minit untuk menyelamatkan pelajar berkenaan.

Pelajar yang cedera tersebut dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim untuk mendapatkan rawatan.

Baki 19 orang pelajar lagi bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut.
Keadaan bas yang terjunam di Jalan Seelong di Senai. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Keadaan bas yang terjunam di Jalan Seelong di Senai. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Terdahulu, bas berkenaan yang membawa 23 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senai itu terbabas selepas cuba untuk mengelak daripada merempuh sebuah lori yang berada di laluan bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Pulai, Deputy Superintendent Mohad Idris Samsuri berkata pemandu bas berusia 35 tahun itu kemudiannya gagal mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum berpusing dan terjunam ke dalam parit.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara cuai,” katanya.