Ahad, 30 Ogos 2015

PAS pernah alami krisis yang lebih 'parah' berbanding polemik GHB hari ini - Nasrudin

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: Krisis serta konflik dalaman PAS yang berlarutan sejak muktamar tahunan Jun lalu sehingga membawa kepada penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) bukanlah kemelut yang terburuk dalam sejarah parti berteraskan Islam itu.
 
Malahan Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menegaskan kemelut dalaman yang berlaku kini bukan perkara baru dan malah senario yang lebih buruk pernah terjadi sebelum ini.
 
"Memang parti ini ada sejarah panjang dalam menghadapi ujian-ujian dalaman seperti ini dan apa yang berlaku bukan perkara baru.
 
"Sebelum daripada ini pun kalau kita baca sejarah tahun 1980, bekas Yang Dipertua PAS Pusat sendiri ataupun presiden kalau mengikut jawatan sekarang Allahyarham ustaz (Datuk) Asri (Muda) pernah keluar parti dan akhirnya mereka menubuhkan parti HAMIM (Hizbul Muslimin Malaysia)," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Beliau menambah krisis yang berlaku itu telah melahirkan beberapa parti serpihan PAS termasuk Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) serta Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (BERJASA) yang ditubuhkan bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Mohamed Nasir.
 
"Dan saya masih ingat dalam berita yang kita lihat dalam akhbar pada era itu lebih 10,000 borang keahlian HAMIM diedarkan tapi alhamdulillah parti masih dapat mampu menghadapinya.
 
"Krisis bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Mat Nasir yang akhirnya menubuhkan BERJASA, kemudian di Kelantan pernah berlaku pertembungan krisis yang dipimpin cikgu Musa pada waktu daripada Pasir Puteh yang menubuhkan parti AKIM," katanya.
 
Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti mengumumkan akan menubuhkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.
 
Dalam perkembangan terbaru, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan GHB untuk menggunakan nama Parti Progresif Islam sebagai nama parti baru yang hendak ditubuhkan.
 
Sehubungan itu, ROS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar memilih nama lain tanpa menggunakan nama Islam dalam usaha mendapatkan sokongan dan pengaruh. 
 
Sebelum ini, Pengerusi GHB Mohamad Sabu dilaporkan berkata, Parti Progresif Islam merupakan antara nama yang dicadangkan bagi mencerminkan sebuah parti Islam yang mengamalkan integriti.
 
Pimpinan GHB kuat dalam PAS sebab dasar Islam bukan individu
 
Menurut Nasrudin, walaupun parti serpihan PAS termasuk GHB yang bakal bergerak atas platform politik diwujudkan bekas pimpinan utama namun ia tidak kekal lama dalam arena politik negara.
 
"Jadi maknanya pengalaman kita banyak dan pernah ahli Parlimen PAS keluar daripada parti dan meletakkan jawatan beramai-ramai sehingga akhirnya tinggal Allahyarham (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) sendirian dalam Parlimen.
 
"Semua polemik ini pernah menjadi pengalaman kepada parti dan alhamdulillah oleh kerana PAS ini dasarnya Islam dan trend bekerja serta perjuangannya kerana Allah dan Islam bukan kerana individu atau pemimpin," katanya. 
 
Tegas beliau, GHB yang diterajui pimpinan progresif PAS yang tewas dalam pemilihan parti tidak akan mampu bertahan tanpa sokongan daripada ahli di peringkat akar umbi.
 
"Jadi walaupun ada pemimpin besar mana pun jawatan umpamanya (Datuk) Ahmad Nakhaie yang pernah pegang jawatan Naib Yang Dipertua keluar parti adalah sebahagian pengikut-pengikut tegar yang keluar mengikut mereka tetapi secara keseluruhanya mereka akan terus komited dengan dasar perjuangan.
 
"Begitu juga dengan apa yang ada hari ini, walaupun kalau kita lihat watak-watak ataupun figure yang bersama dengan GHB adalah tokoh besar tapi bukan bermakna ahli-ahli berjuang kerana mereka," katanya.
 
Dalam masa sama Ahli Parlimen Temerloh ini menegaskan krisis yang berlaku itu tidak menjejaskan PAS sebaliknya memperkuatkan lagi parti berteraskan Islam itu.
 
"Mereka menjadi tokoh besar dalam parti kerana dasar perjungan dan kerana mereka terlibat dengan partilah mereka menjadi tokoh sebesar itu:
 
"Saya percaya kalau mereka meninggalkan parti keluar daripada PAS saya tak nafi mungkin ada sebahagian yang akan ikut jejak mereka tetapi ia tidak menjejaskan parti," katanya.
 
 

Tiada ulasan: