Isnin, 31 Ogos 2015

Kewujudan GHB tidak lumpuhkan PAS langsung - Tuan Ibrahim

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan tindakan keluar beramai-ramai ahlinya untuk menyertai bekas pemimpin utama dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) itu melumpuhkan operasi dan gerak kerja parti berteraskan Islam berkenaan.

Sebaliknya beliau menyifatkan polemik tersebut langsung tidak menjejaskan PAS malahan kemasukan anggota baru lebih besar berbanding jumlah keluar parti.
 
"Walaupun ada yang isytihar keluar, letak jawatan dalam PAS dan sebagainya dari segi parti kita akan terus berjalan seperti biasalah dan saya lihat kemasukan ahli-ahli baru nampak semakin bertambah.
 
"Saya rasa tidak sangat menjejaskan parti dengan apa yang berlaku," katanya.
 
Tuan Ibrahim menambah PAS telah mengambil tindakan segera dengan mengisi kekosongan jawatankuasa di beberapa kawasan apabila barisan terdahulu meletakkan jawatan beramai-ramai.
 
"Tidak (lumpuhkan PAS) sebab yang letak jawatan di peringkat kawasan kita terus ganti dengan ahli jawatankuasa yang baru dan pentadbiran kawasan berjalan seperti biasa," katanya.
 
Beliau mengulas mengenai perkembangan konflik dalaman PAS berikutan tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa di beberapa kawasan untuk menyertai GHB.
 
Dalam perkembangan sebelum ini, beberapa pihak keluar PAS termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Melaka, Jauhar Mohd Dawi yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai GHB sebelumnya bekas Pesuruhjaya PAS Melaka Adly Zahari dan Ketua Pemuda PAS Shah Alam Helmi Radzuan, serta 12 orang anggota jawatankuasanya.
 
Selain itu, seramai 12 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli PAS kawasan Jelebu termasuk bekas Ketua Pemuda PAS Kawasan Jelebu, Mohd Faizal Fadli Idrus turut mengambil tindakan sama.
 
Namun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap tindakan sekumpulan ahlinya yang keluar parti itu sebagai satu proses pembersihan dalam PAS.
 
Beliau berkata perkembangan itu langsung tidak membimbangkan sebaliknya optimis dengan tindakan pihak terbabit dan menyifatkan ia adalah pemutihan yang berlaku secara automatik.
 
Ditanya mengenai tindakan segera akan diambil terhadap ahli yang menyertai GHB, Tuan Ibrahim menjelaskan pihaknya telah menerima laporan daripada PAS negeri serta kawasan dan kini sedang menelitinya.
 
"Kita sekarang ada menerima laporan daripada kawasan dan negeri, kita akan teliti tindakan itu dalam masa terdekat terhadap penglibatan ahli-ahli kita.
 
"Sebab mereka masih lagi ahli PAS, sama ada mereka GHB atau sebagainya ia bukan sebagai parti politik," katanya.
 
Beliau juga mengakui PAS berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap pimpinan GHB selagi ia bergerak atas platform NGO.
 
"Cuma kita boleh ambil tindakan dalam konteks mempromosi parti lain dan menarik ahli-ahli PAS keluar.
 
"Itu yang kita akan teliti dan ambil tindakan, insya-Allah," katanya.
 
 

Tiada ulasan: