Rabu, 29 Julai 2015

Umno Johor tidak halang jemput Muhyiddin

Khaled Nordin
Khaled Nordin
 
 
JOHOR BAHRU - Umno Johor menyeru seluruh ahli parti itu agar terus menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti walaupun beliau telah digugurkan dari barisan Kabinet.
 
Pengerusinya, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya terdapat mana-mana bahagian mengundang Muhyiddin bagi merasmikan mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing.
 
"Diharap semua pihak terus menghormatinya dan saya tiada halangan bagi mana-mana bahagian di Johor yang telah dan ingin menjemput beliau untuk merasmikan mesyuarat Umno di bahagian masing-masing.
 
"Saya juga berharap rakyat dan ahli-ahli Umno khususnya dari negeri ini dapat bersabar dan melalui saat-saat ini dengan kekuatan. Semoga Allah memberi kita semua kekuatan untuk menemui kebenaran," katanya dalam satu kenyataan.
 
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata, Umno Johor menyokong rombakan barisan Kabinet dan ketetapan ke atas Muhyiddin sekiranya tindakan itu dapat memberi kekuatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelesaikan masalah khususnya berkaitan 1MDB.
 
"Ketika lawatan Perdana Menteri ke Johor pada 15 Mei lalu, Perhubungan Umno Johor telah membuat keputusan bahawa beliau perlu diberi kekuatan untuk menyelesaikan segala isu dan masalah khususnya berkaitan 1MDB.
 
"Oleh itu, jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk rombakan barisan kabinet dan terpaksa menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita menerima ketetapan itu, lebih-lebih lagi kita sedar ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri," katanya.
 
Beliau turut berharap agar barisan kabinet yang baru dibentuk mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara seiring dengan keyakinan Perdana Menteri untuk menyelesaikannya mengikut kesesuaian masa.
 
 

Tiada ulasan: