Jumaat, 31 Julai 2015

Tribunal antarabangsa jalan penyelesaian terbaik

SINAR HARIAN



mh17


KUALA LUMPUR - Penubuhan tribunal jenayah antarabangsa ad hoc untuk mengadili mereka yang bertanggungjawab dalam perbuatan menembak jatuh Penerbangan MH17 Malaysia Airlines merupakan penyelesaian paling mudah dan berkesan untuk mengheret pelakunya ke muka pengadilan.

Duta Besar Ukraine ke Malaysia Ihor V. Humennyi berkata penubuhan tribunal itu penting kerana langkah perlu diteruskan selepas pasukan diketuai Belanda menyiapkan siasatannya Oktober ini.

"Resolusi UNSC (Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu) yang diterima pakai tahun lepas berhubung kejadian itu tidak menyediakan instrumen yang memberi peluang untuk mengheret penjanayah terbabit ke muka pengadilan.

"Secara praktikal, cara menyelesaikannya ialah dengan menubuhkan sebuah mahkamah antarabangsa bagi mewujudkan peluang dan kemungkinan yang lebih baik ke arah mengembalikan keadilan kepada mangsa serta membawa pelakunya ke mahkamah," katanya dalam temu bual dengan Bernama di ibu pejabat pertubuhan berita nasional ini di sini hari ini.

Malaysia membentangkan satu deraf resolusi kepada UNSC berhubung penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa ad hoc, yang disokong penuh oleh Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine. 

Deraf resolusi itu bagaimanapun tidak dapat diterima pakai apabila Rusia menggunakan kuasa veto untuk menghalangnya, walaupun cadangan itu mendapat 11 undi sokongan termasuk dari Chad, Chile, Perancis, Jordan, Lithuania, Nigeria, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat. China, Venezuela dan Angola tidak mengundi.

Sekiranya satu daripada lima anggota tetap Majlis itu memberi undi negatif terhadap sesuatu resolusi, maka teksnya tidak boleh diterima pakai. Selain Rusia, anggota tetap UNSC ialah Amerika, United Kingdom, China dan Perancis.

Malaysia, Angola, New Zealand, Sepanyol dan Venezuela dipilih menduduki kerusi UNSC sebagai anggota tidak tetap pada Oktober tahun lepas.

Humennyi berkata, sebagai sebuah badan bebas, tribunal yang dicadangkan itu boleh mengelak tekanan politik daripada mana-mana negara dan ini akan memastikan semua yang terjejas oleh tragedi itu mendapat keputusan adil.

Katanya, dua tribunal ditubuhkan sebelum ini untuk membicarakan individu yang dituduh melakukan jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan iaitu Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) dan Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Rwanda (ICTR).

Humennyi menegaskan bahawa Ukraine akan terus menyokong usaha Malaysia untuk memastikan pelaku jenayah itu dikenakan hukuman, di samping memastikan semua anak kapal serta penumpang MH17, mendapat keadilan.

Mengenai perkembangan terbaru di tempat nahas, Humennyi berkata keadaan bertambah baik berbanding setahun lepas berikutan wujudnya kerjasama lebih baik daripada orang tempatan.

Kesemua 298 anak kapal dan penumpang Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur maut apabila pesawat itu ditembak jatuh di Donetsk, di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas. - Bernama

Tiada ulasan: