Jumaat, 31 Julai 2015

Rafizi diarah bela diri, sifatkan kes bermotif politik

Oleh: Nadia Hanafi


PETALING JAYA- Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli perlu membela diri terhadap tuduhan menghina dengan niat memprovokasi ahli Umno menerusi satu artikel disiarkan akhbar The Edge, tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi menetapkan 20 Ogos depan untuk Rafizi membuat pembelaan dan memulakan kesnya.
Rafizi court
Beliau dituduh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan itu, dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah.

Rafizi ketika ditemui berkata, pendakwaan terhadap beliau sudah dijangka dan menyifatkan ia bermotifkan politik.

“Saya tidak terkejut dan memang sudah jangka. Kes-kes yang dibawa terhadap individu macam saya memang bermotif politik. Maknanya, saya kira ada banyak pertimbangan lain yang mahkamah akan ambil,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Katanya, beliau juga sudah bersedia untuk membela diri kerana yakin tidak bersalah dan mempunyai fakta yang kukuh dalam kes ini.

Rafizi hadir di mahkamah dengan berpakaian kemeja putih dan diwakili peguamnya, Erik Paulsen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan dituduh sengaja menghina ahli Umno, menimbulkan kemarahan yang dikatakan boleh mengganggu ketenteraman awam melalui satu kenyataan dalam artikel bertajuk “Adakah Rafizi akan berhenti jika Selangor tidak dijatuhkan”.

Kenyataan tersebut didakwa diucap semasa ditemuramah seorang wartawan portal fz.com Mohd Azril Annuar melalui telefon dan disiarkan di akhbar The Edge Financial Daily pada 5 Februari.

Rafizi yang ketika itu Pengarah Strategi KEADILAN didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara pada 11.40 pagi, 4 Februari lalu.

Tiada ulasan: