Jumaat, 31 Julai 2015

PAS belum dapat jemputan sertai Bersih 4.0

Oleh Nur Atiqah Abd Samad

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sehingga kini PAS masih belum mendapat jemputan mahupun maklumat mengenai penganjuran Perhimpunan Bersih 4.0 yang dijangka diadakan pada Ogos ini.
 
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak penganjur tidak memaklumkan parti yang terlibat dan tujuan perhimpunan itu diadakan.
 
"Kita pun tak dimaklumkan lagi.
 
"Penyertaan siapa yang terlibat secara tak langsung tak dimaklumkan lagi dan apa objektif perhimpunan tersebut," katanya kepada Antarapos.
 
Himpunan keempat itu akan diadakan pada 29 hingga 30 Ogos secara serentak di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.
 
Himpunan ini akan bermula pada jam 2 petang 29 Ogos dan berlanjut sehingga melepasi tengah malam 30 Ogos, sepanjang 34 jam. 
 
Antara empat tuntutan BERSIH 2.0 dalam himpunan ini ialah membersihkan pilihan raya, kerajaan, menyelamatkan ekonomi dan menyatakan hak membantah.
 
Ketika ditanya mengenai penglibatan PAS dalam himpunan ini, Tuan Ibrahim memberitahu pihaknya akan meneliti terlebih dahulu mengenai objektif perhimpunan tersebut dan penyertaan parti-parti lain.
 
"(Penyertaan) tu kita akan bincang. 
 
"Yang PRU13 pun tak dapat hasil, walaupun kita berhimpun tapi belum capai yang kita tuntut dalam PRU13. Tapi bagi pihak PAS setakat ini kita tunggu.    
 
"Sebab himpunan Bersih dulu ditaja bersama semua parti-parti politik, jadi penyertaan parti politik itu dibuat daripada awal. Yang ini kita tiada makluman dan tak ada penglibatan (perancangan)," jelas beliau lagi.
 
Setakat ini, gabungan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sudah menganjurkan tiga perhimpunan raksaksa di Kuala Lumpur untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil.
 
 

Tiada ulasan: