Jumaat, 31 Julai 2015

Individu tawar siaran televisyen haram ditahan

SINAR HARIAN


KPDNKK


BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan siaran televisyen haram dalam serbuan pihak penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) Pulau Pinang di sebuah premis di Lucky Park, Raja Uda di sini.

Turut dirampas dalam serbuan pada pukul 10.20 pagi semalam itu ialah peralatan seperti server Internet, komputer, kad klon Astro, parabola, penyambung rangkaian internet dan modem yang kesemuanya bernilai kira-kira RM250,000.

Lelaki berusia 54 tahun yang ditahan itu dipercayai dalang utama sindiket tersebut, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang Suhaimi Mat Sari pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu menawarkan lebih 200 saluran Astro berserta saluran tambahan secara tidak sah dengan bayaran bulanan serendah RM28 yang disalur terus melalui talian Internet kepada 300 pelanggan di sekitar Butterworth.

"Kami menerima aduan daripada syarikat televisyen Astro, Multimedia Entertainment Sdn Bhd dan TVBO Entertainment Ltd berhubung perkara itu," katanya.

Suhaimi berkata siasatan mendapati sindiket itu melakukan 87 kesalahan melanggar hak cipta dan menjual saluran rancangan televisyen haram. - Bernama


Tiada ulasan: