KUALA LUMPUR, Semua wakil rakyat PAS diberi amaran agar jangan sesekali menyertai sebarang program atau majlis anjuran Gerakan Harapan Baru (GHB).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu diputuskan oleh kepemimpinan parti dan mereka yang ingkar larangan itu bakal berdepan tindakan jawatankuasa disiplin parti.

Malah katanya, semua kepemimpinan PAS negeri di­arah mengemukakan laporan mengenai sebarang tingkah laku wakil-wakil rakyat yang didapati terbabit dengan GHB di negeri masing-masing.

“Kita dah buat kenyataan, kita beritahu supaya Ahli Parlimen dan pimpinan PAS tidak sertai program GHB, ini di luar daripada PAS dan dianggap negatif terhadap PAS. Jadi, kita beri amaran agar tidak hadiri majlis-majlis ini.

“Dalam masa yang sama kita juga menunggu laporan dari negeri-ne­geri dan mereka akan buat laporan masing-masing terhadap tingkah laku wakil rakyat kita yang akan dibawa kepada jawatankuasa disiplin,” katanya selepas me­rasmikan Ihtifal Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman dekat Tok Jiring, di sini pada Khamis.

Tegasnya, bentuk tindakan yang bakal dikenakan ke atas mereka terbabit antaranya diberi surat tunjuk sebab atau sama ada digantung serta dipecat daripada parti.

“Bermula surat tunjuk sebab yang disusuli nasihat, digantung, dipecat ataupun dibiar kering begitu saja, macam-macam boleh buat,” tegasnya.

Difahamkan, program sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Besut anjuran GHB akan diadakan di Jertih malam ini yang dijangka turut dihadiri beberapa wakil rakyat PAS antaranya bekas Timbalan Presiden PAS yang kini Pengerusi GHB, Mohamad Sabu dan bekas-bekas pemimpin parti itu termasuk Datuk Husam Musa, Ustaz Ahmad Awang, Salahuddin Ayub, Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi serta beberapa wakil rakyat PAS Terengganu.