Selasa, 30 Jun 2015

'Usul putus dengan DAP dimuktamad lepas raya'

MALAYSIAKINI


 


Majlis Syura PAS dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri nanti, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamad.
  
Beliau berkata ketika ini keanggotaan Majlis Syura masih belum lengkap.
  
"Sekarang ini hanya separuh daripada ahli Majlis Syura telah dilantik. Mursyidul Am dan Timbalannya pun belum dilantik lagi selepas Muktamar Tahunan PAS 2015 baru-baru ini.
  
"Majlis Syura belum bermesyuarat. Mungkin selepas raya,” katanya kepada pemberita di perkarangan bangunan Majlis Amarah Rakyat (MARA) di Kuala Lumpur  hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status usul Dewan Ulama PAS Pusat yang disokong tanpa dibahaskan semasa muktamar lepas berkenaan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP.

Mahfodz, yang juga anggota Majlis Syura sesi 2011-2015, berkata Dewan Ulama akan akur dengan apa jua keputusan muktamad Majlis Syura itu nanti.
  
"Sekarang ini usul itu belum dilaksana kerana yang hendak memutuskan itu Majlis Syura," katanya.
  
Terdahulu, Mahfodz bersama anggota Dewan Ulama yang lain menyerahkan memorandum kepada pengurusan MARA supaya siasatan penuh dan telus dapat dilakukan berhubung kes pembelian hartanah di Melbourne, Australia oleh MARA Inc.-Bernama


 

Tiada ulasan: