KUALA LUMPUR- Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi hari ini mendedahkan terdapat beberapa mesyuarat ‘tidak rasmi’ diadakan di antara PasMa, DAP dan PKR yang membincangkan mengenai pembentukan sebuah parti politik baru.

Baru-baru ini, PasMa mengumumkan bahawa mereka akan membentuk sebuah parti politik baru untuk menyertai Pakatan Rakyat selepas PAS memutuskan hubungannya dengan DAP.

“Kami masih berbincang tetapi ia hanya akan ditubuhkan selepas Raya nanti,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Walau bagaimanapun, tinjauan yang dilakukan oleh The Rakyat Post di Parlimen Sepang dan Kota Raja mendapati beberapa Ahli Parlimen di kawasan masing-masing meletakkan kain rentang ucapan selamat berpuasa dan menyambut Ramadan dengan tiga logo di atasnya – DAP, PKR dan Pasma.

Di bawah logo itu tertulis ‘Pakatan Rakyat Baharu’.

Ditanya mengenai maksud perkataan tertera ‘Pakatan Rakyat Baharu’ di kain rentang itu, Phahrolrazi enggan mengulas dan hanya menyifatkan ia sebagai “Gelombang momentum yang baik”.

“Setakat ini kami telah menerima maklum balas positif termasuk parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat.

“Kami juga mengadakan beberapa perbincangan tidak rasmi mengenai perkara ini dengan PKR dan DAP.”

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming ketika dihubungi The Rakyat Post berkata, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka boleh bersetuju mengenai hala tuju dan dasar bersama.

“Memandangkan hakikat bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, kita (DAP) sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh bersetuju dengan kerangka kerja yang sama.

“Buat masa ini, kita perlu melihat pembentukan (parti baru) pertama. Mari kita lihat apa yang parti-parti pembangkang lain fikirkan tentang parti baru ini,” katanya.

Bagi Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, dia mengakui dan berharap untuk sebuah parti baru dalam kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

“Saya berharap akan ada sebuah parti baru untuk menggantikan PAS. Itu adalah hasrat saya,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Sani berpendapat, beliau percaya bahawa parti baru PasMa ini sedang dalam proses merekrut ahli PAS untuk menyertai parti baru mereka.

“Saya rasa sekurang-kurangnya satu pertiga daripada penyokong PAS akan meninggalkan PAS dan menyertai parti baru. Saya menjangkakan mereka akan meraih sokongan,” katanya kepada The Rakyat Post.

Menurut, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pula beranggapan sebaliknya, beliau menegaskan bahawa parti baru perlu mendapatkan ‘restu’ daripada parti-parti pembangkang lain jika mahu terus kekal.

“Sesiapa pun boleh membentuk sebuah parti baru di Malaysia. Mereka boleh mendakwa bahawa mereka adalah sebahagian daripada Pakatan Rakyat tetapi adakah mereka benar-benar mendapatkan restu mereka?

“Dalam konteks politik sebenar, semangat Pakatan Rakyat masih kukuh terutama di Selangor dan Pulau Pinang walaupun pihak tertentu disebut sebagai mati.

“Tetapi ini terlalu awal untuk kita menilai jika parti itu terlalu baru untuk berjaya,” katanya.