KOTA BHARU - Dokumen berkaitan pembelian aset oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) di luar negara telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses siasatan, kata Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata dokumen tersebut termasuklah tiga hartanah yang didakwa dibeli secara meragukan di Melbourne, Australia.

"Jadi biarlah penyiasatan berjalan. Kita tak ada apa nak disembunyikan," katanya kepada pemberita selepas selepas majlis penyerahan zakat kepada 380 orang penerima dalam kawasan Parlimen Ketereh di sini, hari ini.

Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh menegaskan pihaknya tidak akan menyembunyikan apa-apa perkara berhubung pembelian aset Mara di luar negara dan akan bekerjasama dengan pelbagai pihak jika diminta berbuat demikian.

Akhbar Australia, The Age baru-baru ini melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.  

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University. - Bernama