Sabtu, 27 Jun 2015

MARA jaga amanah, terbuka untuk disiasat

MALAYSIAKINI


 


Demi ketelusan dan membersihkan namanya, Majlis Amanah Rakyat (MARA) terbuka untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau firma asing yang bersesuaian.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau berpegang pada prinsip amanah dan sebarang salah laku tidak akan dilindungi.

“Ttiga empat hari lepas, saya terima laporan dan saya tengok ada yang tidak mencukupi, sebab itu saya hari ini direct ke SPRM. Apa yang tidak kena biarkan SPRM teruskan (siasatan)," katanya dalam program bual bicara di sebuah stesen televisyen sebentar tadi.

MARA sedang menjadi perhatian ekoran pembelian blok apartmen di Melbourne, Australia yang dikatakan dikuasai dengan harga jauh lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, MARA akan melantik juruaudit antarabangsa bertauliah untuk menyemak semua aspek transaksi itu dan ia tidak terhad kepada audity dalaman.

"Kita kena menambah baik, dan kalau kita nak lihat ruang yang longgar, kita mesti perbaiki,” katanya.

Sebelum ini akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne.

Kena hadapi realiti

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya" terlebih bayar sebanyak AS$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa "membida lebih tinggi" untuk bangunan Dudley International House itu, daripada AS$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta).

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli MARA yang menyediakan biasiswa untuk pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.

Sementara itu, Annuar ketika mengulas mengenai pegawai yang dikatakan terlibat mengenai laporan pembelian tanah itu berkata, beliau akan menyiasat terlebih dahulu dan tidak menolak berkemungkinan terdapat salah laku.

“Kena hadapi realiti, dalam saya beri maklumat (kepada SPRM), saya tidak kata akan melindungi sesiapa, dan kita kena siasat, kerana tuduhan itu serius. Walaupun kata pegawai MARA terlibat, tetapi ia ada pembelian yang terlibat dijual secara teratur.

“Walaupun nampak begitu, tuduhan kemungkinan pegawai MARA terlibat kita kena siasat. Tidak boleh tuduh dia buat, tapi tidak menafikan kemungkinan salah laku,” katanya. 


Tiada ulasan: