KUALA LUMPUR-  Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Azizuddin Sani berkata beliau percaya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hanya mengusik penggantinya Azmin Ali apabila beliau menawarkan diri untuk menjadi Menteri Besar semula dalam menyelesaikan krisis Pakatan Rakyat di Selangor..

“Saya fikir dia hanya mengusik kerajaan Selangor dan Azmin Ali.

“Jika dia boleh mendapatkan majoriti mudah dan menerima sokongan, mungkin dia boleh menjadi MB lagi,” katanya kepada The Rakyat Post.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Khalid menjadi MB sekali lagi, Dr Azizuddin berkata, ia sesuatu yang sukar bagi Khalid untuk kembali duduk di kerusi MB.

“Beliau telah dipecat dari Pakatan Rakyat sebelum ini. Ia akan menjadi sangat sukar kerana seperti yang kita tahu DAP dan PAS memberi sokongan penuh kepada Azmin.”

Sementara itu, pendapat yang sama juga diluahkan oleh seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Shaharuddin Badaruddin yang ragu-ragu sama ada Khalid boleh menjadi MB sekali lagi.

Ketika dihubungi The Rakyat Post, Dr Shaharuddin berkata perkara itu boleh terjadi jika Khalid boleh mendapatkan mandat dari parti-parti politik lain di Selangor, namun impiannya untuk kembali kepada kedudukan MB adalah tidak mungkin.

“Dia seorang ahli politik bebas. Bagaimana beliau boleh menjadi MB bersendirian?

“Belum ada dalam sejarah sebuah negeri mengangkat ahli politik bebas menjadi MB melainkan jika dia menerima mandat oleh parti-parti politik lain di Selangor.

“Jika dia hanya menawarkan diri tanpa sokongan, saya rasa dia tidak serius apabila dia menawarkan diri ketika itu,” katanya.

Memetik laporan berita di Malay Mai lOnline, Khalid yang juga Ahli Parlimen Pelabuhan Klang berkata, dia bersedia untuk kembali memastikan Selangor ditadbir dengan ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan bebas daripada rasuah.