Ahad, 28 Jun 2015

Khalid ulangi gesaan MB selesai isu air S'gor

MALAYSIAKINI


 


Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini sekali lagi mengulangi gesaannya supaya Menteri Besar Azmin Ali supaya segera menyelesaikan penstrukturan semula air di negeri itu atau berundur dari jawatannya.

Sejak mengetuai pentadbiran negeri itu sehingga kini, Khalid mendakwa Azmin sengaja melambatkan proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air dan gagal mengambil pelan tindakan terperinci menyelesaikan isu tersebut.

Susulan itu, Khalid berkata beliau difahamkan ada pegawai yang sebelum ini bertungkus-lumus menyempurnakan penyusunan semula industri air kini seolah-olah hilang punca tanpa hala tuju dan garis panduan yang jelas daripada Azmin.

"Sebaliknya, apa yang beliau mampu lakukan hanyalah melemparkan pelbagai kenyataan mengelirukan, dolak-dalih retorik, dakwaan tempang dan tuduhan tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan yang lain terutama Kerajaan Persekutuan.

"Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau sebenarnya ada udang di sebalik batu," kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata rakyat terkejut dengan "ancaman" tindakan Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) mahu membatalkan perjanjian jual beli dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Selain itu, katanya PNHB juga mahu mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula hutang tertunggak kerajaan Negeri yang dianggarkan mencecah RM4.97 billion pada 31 Mac 2015.

Jika kerajaan negeri gagal memuktamadkan Perjanjian Utama dengan Kerajaan Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor, Khalid berkata tidak mustahil ancaman PNHB itu bertukar realiti.

Ini kerana, katanya, "imuniti" yang dinikmati oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) untuk terus berdegil menolak tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Sehubungan itu, Khalid menggesa kerajaan negeri segera memuktamadkan penstrukturan semula industri Selangor demi kemaslahatan penduduk di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2).

"Saya yakin Kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 khususnya Seksyen 114 sekiranya usaha ini menemui jalan buntu.

"Sekiranya Datuk Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi dan mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan semula industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam Dewan Degeri Selangor sebelum ini.

"Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur sekarang supaya Dewan dapat mencari seorang pengganti yang benar-benar layak, berkemampuan dan berkebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab berat ini," katanya.


Tiada ulasan: