Isnin, 29 Jun 2015

Jangan terpedaya beli batu geliga 'sakti'

MALAYSIAKINI


Orang ramai khususnya warga emas di Johor dinasihati agar tidak terpedaya dengan taktik pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan melalui aktiviti menjual batu geliga yang didakwa 'sakti' dan bernilai tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata batu geliga yang didakwa mengeluarkan cahaya berkenaan hanyalah batu geliga palsu yang direka supaya dapat mengeluarkan cahaya apabila bertindak balas kepada air bagi membolehkan mangsa yakin terhadap 'kuasa' batu berkenaan.

"Taktik yang digunakan kumpulan ini memang licik apabila batu itu juga diletakkan di dalam sejenis bekas antik yang menjadikan ia seolah-olah berharga," kata beliau dalam satu kenyataan di Kota Tinggi hari ini.

Rahmat berkata modus operandi kumpulan ini ialah mangsa akan diyakinkan suspek pertama sebelum menghubungi rakannya yang dikatakan pakar dalam hal tersebut dan menawarkan harga yang tinggi.

"Namun suspek pertama hanya mahu menyerahkan batu geliga itu kapada mangsa sahaja dengan hanya perlu membayar seberapa banyak wang yang ada dalam akaun Tabung Haji selain wang yang ada pada mangsa.

"Setelah menyerahkan kesemua wang, mangsa akan didatangi seorang lelaki lain (suspek) yang ingin menawarkan harga yang lebih tinggi dan akan berjumpa selepas Zohor di tempat yang sama tetapi setelah menunggu suspek ketiga ini tidak muncul, baru mangsa sedar dia telah ditipu," kata beliau.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, seorang warga emas berusia 69 tahun dari Felda Bukit Aping Timur, Kota Tinggi, kerugian kira-kira RM11,600 apabila terpedaya oleh kumpulan yang didalangi tiga suspek yang mendakwa mereka mempunyai batu geliga 'sakti'. - Bernama


 

Tiada ulasan: