SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menerima kunjungan ahli Parlimen veteran, Lim Kit Siang sekiranya beliau mahu mendapatkan penjelasan daripada agensi pencegahan rasuah ini berhubung isu pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd di Australia.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan mengenai apa jua isu kepada mana-mana pihak pada bila-bila masa.
 
"Ini adalah dasar dan pendekatan SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, telus dan profesional," kata beliau hari ini.
 
Abu Kassim mengulas kenyataan Kit Siang, Penasihat DAP dalam blognya hari ini.
 
Dalam kenyataannya, Kit Siang mendakwa SPRM tidak kompeten dan tidak efisien dalam tindakan berhubung isu pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd.‎
 
Katanya, beliau sedang mempertimbangkan untuk berkunjung ke Ibu Pejabat SPRM untuk mendapatkan penjelasan sekiranya Ketua Pesuruhjaya boleh memberi jaminan bahawa akan memberi penjelasan yang memuaskan.
 
"SPRM mengalu-alukan kedatangan beliau sekiranya berhasrat untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan-tindakan yang telah diambil," kata Abu Kassim.
 
Abu Kassim menambah bahawa telah menjadi amalan pihaknya untuk menerima kunjungan mana-mana pihak bagi menjelaskan apa jua isu yang dibangkitkan.
 
"Malah, SPRM telah mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin DAP di peringkat nasional dan negeri. 
 
"Ini termasuklah satu pertemuan pada awal April 2015 di Bangunan Parlimen, di mana kesemua isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen DAP telah diberi penjelasan dengan terperinci," kata beliau.
 
Selain itu, jelas Abu Kassim, DAP mempunyai wakil dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) iaitu Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan boleh mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu semasa.
 
"Mana-mana pihak yang sangsi dengan fungsi dan peranan SPRM juga boleh menghubungi JKMR untuk mendapatkan penjelasan," katanya lagi.
 
JKMR merupakan salah satu daripada lima badan bebas, yang ahlinya terdiri daripada kalangan ahli-ahli Parlimen, memantau perjalanan SPRM. 
 
Kata beliau, kesemua lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM lazimnya akan diberi makluman mengenai status kemajuan siasatan sesuatu kes jika dibangkitkan atau jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.
 
Semalam, SPRM menegaskan dakwaan Kit Siang bahawa isu pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd sudah diketahui SPRM sejak Disember 2014 adalah tidak benar sama sekali.
 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, SPRM hanya mula menerima maklumat daripada orang ramai pada Mac 2015, dan badan itu terus memulakan proses 'profiling' ke atas individu dan syarikat terlibat.
 
"Susulan itu, SPRM menerima kunjungan Polis Australia pada Mei 2015 di mana kedua-dua pihak SPRM dan polis Australia bertukar-tukar maklumat dan memulakan siasatan bersama.
 
"Pada Jun pula, SPRM menghantar beberapa pegawai ke Melbourne untuk berbincang. Apabila media Australia dan tempatan melaporkan isu ini pada 23 Jun 2015, pegawai SPRM sudahpun berada di Melbourne sebagai sebahagian daripada kerja siasatan sebelum isu ini timbul," katanya.
 
Mohd Shukri berkata SPRM sentiasa menjalankan siasatan secara telus, bebas dan profesional tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.