KAJANG - Pengasas Pusat Jagaan dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah bakal membuka sebuah lagi rumah jagaan di Bangi bagi golongan warga emas yang tidak mempunyai waris, September ini.

Pengerusinya, Asral Widad Ahmad Asnawi berkata, pihaknya akan mengambil warga emas dari beberapa tempat untuk dibawa ke Darul Insyirah ketiga.

“Kali ini kita akan buka untuk warga emas yang memang tidak mempunyai waris. Kita ambil dari hospital, pusat jagaan bukan Islam termasuk warga emas mualaf,” katanya kepada Sinar Online ketika kunjungan ke Darul Insyirah, Sungai Ramal, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya berharap agar perjuangan ini turut dikongsi sama oleh masyarakat.

“Saya harap orang ramai anggap ini perjuangan bersama bukan kami sahaja.

“Kami tidak ambil keuntungan langsung...hanya tolong uruskan sahaja,” katanya.

Sementara itu, menyentuh soal dua lagi pusat jagaan yang dibuka bagi menempatkan warga emas yang masih mempunyai waris, Darul Insyirah Khadijah dan Aisyah, Asral Widad memberitahu pihaknya memerlukan sumbangan pihak yang sudi membeli rumah banglo yang didiami 30 warga emas itu.

“Pemilik nak jual, jadi kami perlu berpindah jika rumah ini dibeli orang lain. Memang kalau boleh kami nak beli tapi kami terpaksa menanti mana-mana pihak yang sudi membantu. Kami tidak mampu.

“Kami sedang usaha untuk mencukupkan dana untuk membeli rumah banglo tersebut yang bernilai RM1.5 juta. Darul Insyirah Aisyah akan dijual pada November ini,” katanya.

Darul Insyirah menyediakan perkhidmatan jagaan dilengkapi khidmat tujuh jururawat dan pendidikan agama kepada penghuni-penghuninya.

“Kita menggalakkan bonda-bonda di sini menghafal al-Quran, khatam, belajar bahasa Arab dan mereka juga dibawa ke masjid atau surau lain untuk menuntut ilmu.

“Setiap hari juga ada ustazah yang berkhidmat untuk mengajar bonda-bonda,” katanya.