Ahad, 28 Jun 2015

Belum ada keputusan usul putus hubungan dengan DAP, kata PAS



Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berceramah di ibu pejabat PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. Beliau melihat konflik di dalam Pakatan Rakyat sebagai satu provokasi yang dirancang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 28 Jun, 2015.Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berceramah di ibu pejabat PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. Beliau melihat konflik di dalam Pakatan Rakyat sebagai satu provokasi yang dirancang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain



PAS masih belum membuat keputusan mengenai usul Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP yang diterima tanpa bahas muktamar tahunannya ke-61 awal bulan ini.

Ketua Penerangan Nasrudin Hassan berkata, usul itu masih belum dibincangkan dan dibuat keputusan muktamad di peringkat Majlis Syura Ulama.

Ini kerana katanya, Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din ketika ini sedang melaksanakan ibadah umrah di Mekah.

"Kami akan tunggu sehingga beliau pulang untuk menetapkan tarikh mesyuarat majlis syura untuk membincangkan usul itu.

"Apa yang diputuskan, seperti kata presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), ialah supaya PAS terus kekal dengan Pakatan Rakyat (PR)," katanya kepada pemberita awal pagi ini selepas satu ceramah lewat malam di ibu pejabat PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu.

Usul Dewan Ulama itu menyebabkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengisytiharkan gabungan parti pembangkang dalam PR itu kini berkubur.

Nasrudin menegaskan PAS tidak membuat keputusan mengenai usul itu, sebaliknya DAP yang membuat keputusannya sendiri.

"Yang menariknya, usul yang dibentangkan Dewan Ulama dijalankan DAP.

"Ketika ini, kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan pihak satu lagi dalam PR (PKR). Cuma tidak dengan DAP," katanya, sambil bertanya kenapa Lim harus terburu-buru bertindak tanpa merujuk perkara itu kepada kepimpinan PR.

Nasrudin berkata, beliau melihat apa yang terjadi sebagai satu provokasi yang dirancang selama ini, tetapi ahli PAS kini matang dan memahami keadaan.

Ditanya pandangannya mengenai rancangan kumpulan serpihan PAS, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), dan pemimpin progresif dalam parti, atau G-18, yang tersingkir semasa pemilihan, menubuhkan parti baharu, Nasrudin berkata beliau tidak yakin ia akan terjadi.

"Ini cuma fenomena sementara, macam demam pasca muktamar.

"Saya nasihatkan mereka jangan ganggu hasrat PAS mempertahankan Islam dan menjadi alternatif kepada Barisan Nasional dan Umno.

"Apa yang mereka lakukan akan mengelirukan rakyat dan mengganggu perjalanan politik negara. Niat mereka itu tidak akan tercapai," katanya.

Nasrudin berada di Pulau Pinang bersama pemimpin tertinggi PAS, termasuk Hadi, untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli parti di negeri ini dan mengadakan ceramah terbuka semalam.

Katanya, mereka membincangkan hal dalaman parti dan menjawab persoalan yang timbul mengenai parti itu di Pulau Pinang.

"Kami bercakap tentang isu yang berkaitan dengan memperkukuh parti dan turut menjelaskan beberapa salah faham yang timbul," katanya apabila diminta mengulas lanjut mengenai pertemuan tertutup mereka.

Mengenai sama ada ahli PAS yang dilantik memegang jawatan politik dalam jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JKKK) serta badan berkaitan kerajaan negeri lain akan diminta meletak jawatan sepertimana cabaran kerajaan DAP, Nasrudin berkata, mereka diberitahu untuk tidak melakukan demikian.

Beliau berkata, mereka diberitahu supaya terus melaksanakan tugas mereka dan bekerja dengan tekun.
Katanya, negeri itu dimenangi melalui PR dan tiada siapa berhak bertindak sendirian.

Sementara itu, Nasrudin berkata PAS akan menghantar memorandum kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pelajaran berhubung dakwaan Mara terlebih bayar sebanyak RM13.8 juta dalam satu pembelian hartanah di Melbourne.

Tiada ulasan: