Isnin, 27 April 2015

Serang bilik gerakan: Penjawat awam antara ditahan

SINAR HARIAN


PRK Rompin Grafik Sinar Online
 
 
 
ROMPIN - Seorang penjawat awam antara dua suspek ditahan polis berikutan kes serangan terhadap petugas Bilik Gerakan Pas di sini, awal pagi semalam.

Kedua-dua suspek itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu petang semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata suspek yang berumur 41 dan 46 tahun itu, disah positif ganja selepas saringan ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-dua mereka.

Polis kini sedang mendapatkan perintah mahkamah bagi menahan reman mereka bagi membantu siasatan, katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Berdasarkan maklumat yang diterima suspek telah membuat huru-hara di Bilik Gerakan PAS Bandar Rompin yang disusuli dengan pergaduhan kecil.

"Salah seorang daripada suspek merupakan seorang kakitangan awam manakala seorang lagi bekerja sendiri dan kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek berkenaan mulai hari ini," katanya.

Sharifuddin berkata motif kejadian dipercayai khayal dan kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya kerana penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata pihak polis juga telah memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam mengenai penglibatan anggotanya dalam kejadian itu.

Menyentuh mengenai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, beliau berkata pihaknya telah memberi kelonggaran dengan membenarkan parti-parti politik memohon permit ceramah dengan notis kurang 48 jam.

Justeru, polis telah memberi kelonggaran dengan meluluskan 23 permohonan ceramah malam ini iiatu lapan permohonan oleh UMNO dan dan 15 oleh Pas, katanya.

"Sepatutnya mana-mana parti politik perlu mengemukakan permohonan 48 jam lebih awal untuk mendapatkan permit ceramah namun kita telah memberi kelonggaran bagi 23 permohonan itu yang dibuat kurang daripada tempoh sepatutnya," katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 54 permit ceramah daripada kedua-dua parti politik telah mendapat kelulusan iaitu 38 permohonan oleh PAS, manakala selebihnya UMNO.

Beliau turut mengingatkan parti politik yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah, kerana ceramah tanpa permit adalah menyalahi undang-undang.

Mengikut Seksyen 24b(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menjalankan ceramah tanpa permit boleh dihukum tidak lebih satu tahun penjara atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon PAS, Nazri Ahmad, bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas. - Bernama

Tiada ulasan: