GST baru
 
 
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghormati pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zuklifli Mohammad Al-Bakri supaya orang Islam dikecuali atau dikurangkan kadar pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha bagaimanapun berkata keharusan pelaksanaan GST itu yang telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan juga berasas berdasarkan keperluannya untuk membiayai program berbentuk syariah.
 
"Mungkin dia (mufti wilayah) ada kajian tersendiri dan apa yang diputus oleh Majlis Fatwa juga ada asas-asasnya.
 
"Fatwa keputusan sudah ada satu keputusan telah dimaklumkan berdasarkan elemen-elemen kerajaan perlu ada harus dilaksanakan, maknanya disalurkan kepada program-program berbentuk syariah dan sebagainya," katanya, di sini, hari ini.
 
Minggu lalu, Mufti Wilayah Persekutuan itu menggesa Putrajaya mengecualikan warganegara beragama Islam daripada membayar GST kerana mereka sudah melunaskan zakat berdasarkan agama Islam.
 
Cadangan itu dibuat Zulkifli menerusi laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan pada Jumaat juga menggesa Putrajaya mengurangkan kadar GST sedia ada.
 
Dalam pada itu, Othman juga berkata, orang Islam perlu memberi peluang kepada cukai baharu itu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan terlebih dahulu sebelum ia boleh dikaji semula.
 
"Peringkat agama, kita akan lihat dulu sama ada berbalik kepada fatwa tapi jalan dulu laa, sebab kerajaan kata jalan dulu, benda itu belum lagi, takkan baru putus terus nak (batal pelaksanaan).
 
"Mungkin selepas itu, menteri kata kita akan semak balik...menteri nak lihat dulu, tempoh enam bulan, lepas itu baru buat keputusan," katanya lagi.