'Ada pesakit tidur di lantai, bermalam di koridor' Pesakit lelaki terpaksa ditempatkan di wad perempuan.


KAJANG – Kesesakan yang berlaku di wad lelaki Hospital Kajang menyebabkan kira-kira 10 pesakit terpaksa ditempatkan di wad perempuan.

Seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia dimasukkan ke wad itu beberapa hari lalu selepas jururawat memaklumkan katil wad lelaki di aras bawah dan tingkat satu penuh.

Disebabkan dia masih boleh bergerak dengan mudah, jururawat memintanya berpindah ke wad perempuan di tingkat dua.

“Saya pun tak tahu kenapa wad penuh tapi sebab nak dapat rawatan saya ikut saja arahan ke wad perempuan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bangunan empat tingkat hospital tersebut dikhususkan untuk menempatkan pesakit dewasa yang perlu menerima rawatan harian.

Hospital yang masih mengekalkan ciri bangunan lama itu mempunyai bahagian-bahagian lain seperti wad bersalin, wad kecemasan, wad psikiatri, wad pediatrik dan klinik rawatan pesakit luar.

Sementara di bangunan empat tingkat, aras bawah dan tingkat satu menempatkan wad pesakit lelaki manakala tingkat dua dan tiga untuk wad perempuan.  Setiap tingkat mempunyai 42 katil yang masing-masing sudah dipenuhi nama pesakit.

Namun ketika tinjauan dibuat, kebanyakan pesakit keluar menerima rawatan atau ada yang bersiar-siar bersama keluarga pada waktu melawat.

Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kajang, Low Hoon Hang berkata, kesesakan di wad utama adalah perkara biasa terutama ketika berlaku peningkatan kes denggi.

Menurutnya, pernah ada pesakit terpaksa tidur di lantai dan bermalam di koridor kerana kekurangan katil.

Masalah itu pernah beberapa kali diajukan kepada pihak kementerian, namun maklum balas positif masih belum diterima sejak lebih tujuh tahun lalu.

Menurut Hoon Hang, hospital daerah berusia hampir 100 tahun itu hanya dinaiktaraf  dari tahun ke tahun, namun ia tetap tidak dapat memenuhi keperluan penduduk yang meningkat.

Katanya, jika mengikut piawaian sebenar, hanya tiga katil boleh diletakkan di setiap baris, tetapi akibat ruang bangunan terhad, pihak hospital terpaksa meletakkan lima katil di setiap baris.

“Walaupun sempit, pesakit tak ada pilihan sebab di sini lebih murah berbanding hospital swasta.

“Kita sudah hantar kertas cadangan minta bangunan enam tingkat didirikan, tapi belum ada respons sedangkan pesakit meningkat dari hari ke hari," katanya.

Beliau tidak menolak berlaku arahan supaya pesakit pulang lebih awal walaupun belum sembuh sepenuhnya bagi memberi keutamaan kepada kes kecemasan lain.

Katanya, pihaknya ada mencadangkan hospital itu dipindahkan ke kawasan lebih luas sekurang-kurangnya 12 hektar di sekitar Kajang.

Hospital sedia ada terletak di atas tanah seluas 6.4 hektar, dipadatkan dengan bangunan hospital, pejabat pentadbiran, wad pesakit mental, wad pediatrik, wad bersalin, wad kecemasan dan klinik pesakit luar.

“Sekarang hanya ada kira-kira 300 katil bagi semua wad sedangkan kita perlu sekurang-kurangnya 600 katil. Itu belum termasuk lain-lain kekurangan yang dihadapi,” katanya.