Sabtu, 28 Mac 2015

Isu 1MDB Panaskan Bicara Masa Depan Ekonomi Malaysia

shahbudindotcom


Malam semalam telah berlangsung forum "Bicara Masa Depan Ekonomi Malaysia" anjuran sebuah NGO, Pertubuhan Anak Muda Prihatin Darul Ehsan di Dewan MBSA, Bukit Naga, Shah Alam.

Forum disertai oleh dua ahli panel iaitu Naib Presiden Pas, Husam Musa dan Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin. Moderatornya pula ialah bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof.

Menariknya ketiga-tiga mereka datang daripada parti yang berbeza iaitu Husam daripada Pas, A Kadir Jasin seorang ahli UMNO manakala Yusmadi daripada PKR.

Walaupun tajuk yang dipilih berkaitan ekonomi Malaysia, tetapi tumpuan perbincangan lebih mengkhusus kepada isu 1MDB yang sejak beberapa bulan lalu semakin menjadi perbualan ramai.

Husam dalam ucapannya menekankan bahawa 1MDB adalah isu penting yang harus diambil perhatian oleh seluruh anggota masyarakat kerana ia sudah menjadi beban yang memberi kesan kepada semua rakyat.

Katanya, beban 1MDB adalah hutang yang bukan saja ditanggung oleh generasi sekarang, tetapi juga bakal berlarutan sehingga generasi yang seterusnya.

Beliau juga menimbulkan persoalan, apakah isu yang melanda 1MDB bakal menyerupai seperti skandal PKFZ di mana semua yang pernah didakwa akhirnya terlepas, namun wang berbilion ringgit yang dipersoalkan lesap begitu saja.

Husam turut membangkitkan soal pencanggahan kepentingan melibatkan Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dalam waktu yang sama, manakala wang yang banyak dipinjam pula adalah daripada KWSP, KWAP dan sebagainya yang terletak di bawah Kementerian Kewangan.

Ketika menjawab pertanyaan peserta pula, Husam menyatakan kesediaan untuk turun bersama-sama dengan rakyat untuk menuntut penyiasatan yang telus dan menyeluruh berkaitan isu demi isu melibatkan 1MDB ini, termasuk juga menghantar petisyen kepada Senat AS agar syarikat yang didaftarkan di negara itu yang didakwa terlibat dalam urusniaganya hendaklah juga diaudit sama.

A Kadir Jasin pula menyatakan, walaupun 1MDB dikatakan sebagai syarikat pelaburan strategik kerajaan tetapi bidang pelaburan yang diceburinya seperti janakuasa bukanlah suatu bidang perniagaan yang baru.

Lebih malang, tegasnya, pelaburan dalam pembekal janakuasa bebas atau IPP itu tidak saja dibuat dengan harga lebih tinggi daripada pasaran, bahkan juga ketika kontraknya dengan TNB sudah hampir tamat tempohnya.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan dan hutang 1MDB yang tinggi dan sebahagiannya dijamin oleh kerajaan bukan isu yang boleh dipandang ringan oleh rakyat.

Perjuangan menuntut penyiasatan yang bebas dan menyeluruh berkaitan 1MDB ini seharusnya juga melepasi sempadan parti dan melibatkan semua pihak yang sayangkan negara ini, tambah beliau yang juga merupakan bekas Ketua Pengarang NSTP.

Dengan tegas, A Kadir Jasin menyatakan mereka yang bertanggungjawab dalam pelaburan meragukan dan hutang yang tinggi dalam 1MDB seharusnya diambil tindakan yang sewajarnya.

Berkenaan konflik kepentingan, A Kadir Jasin menyatakan beliau berulangkali menyatakan kedudukan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan secara serentak lebih mendedahkan kepada berlakunya amalan itu.

Secara umumnya peserta yang hadir amat berpuas hati dengan forum ini dan berharap ia sentiasa diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi lebih pendedahan kepada rakyat berkaitan isu-isu ekonomi negara. ( SH 28/03/2015 )

Husam Musa dan A Kadir Jasin sebagai ahli panel manakala Yusmadi sebagai moderator...

Husam Musa mahu semua rakyat sedar nengenai beban 1MDB ini kepada mereka...

A Kadir Jasin mahukan isu 1MDB diperjuangkan melepasi sempadan parti...

Tiada ulasan: