Selasa, 24 Februari 2015

Tidak masuk akal PAS-UMNO bergabung – Tuan Ibrahim

 
Dalam saat UMNO sedang kelemasan, tentulah ia akan sanggup melakukan apa sahaja, namun pengalaman lampau membuktikan bila mana mereka kuat, mereka akan tendang PAS keluar


naibpas


PETALING JAYA: PAS tidak akan sekali-kali bergabung dengan UMNO sebagaimana yang diviralkan dalam media sosial ketika ini, kata Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, perkara penggabungan PAS dengan UMNO tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat parti.

Tambah beliau, sudah tidak terbilang kalinya ditegaskan, tidak timbul soal penyatuan kedua-dua parti ini. PAS ada 21 kerusi Parlimen, UMNO mempunyai 88 kerusi Parlimen.

“Jika bergabung, UMNO hendak bagi berapa kerusi kepada PAS? 40 kerusi? Dari sudut ini sahaja, tuduhan PAS akan bergabung dengan UMNO sudah tidak masuk akal.

“Bahkan, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) telah menegaskan dalam Muktamar lalu dan sebelumnya, PAS tidak akan bergabung dengan UMNO. Perkara dasar begini mesti melalui keputusan Muktamar bukan hanya pandangan peribadi ahli parti,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jika atas alasan untuk melaksanakan sistem perundangan Islam, tegas Tuan Ibrahim, UMNO sudahpun boleh melaksanakan seandainya betul ingin berbuat demikian di semua negeri diperintah parti itu.

“Berdekad UMNO menentang Hudud dan memperlekehkan hukum Allah dan tidak menggunakan al-Quran serta Hadis sebagai rujukan tertinggi parti, apakah mungkin tiba-tiba parti itu betul-betul ingin membantu PAS melaksanakannya?

“Dalam saat UMNO sedang kelemasan, tentulah ia akan sanggup melakukan apa sahaja, namun pengalaman lampau membuktikan bila mana mereka kuat, mereka akan tendang PAS keluar dari muafakat yang ada,” katanya.

Beliau berkata, kalau hujahnya adalah untuk perpaduan Melayu, biarlah orang Melayu bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baru berteraskan Islam dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti yang boleh menerima rasuah, salah guna kuasa sebagai sesuatu yang patut di bawah kerajaan UMNO.

1 ulasan:

cikmatgelap berkata...

wakakakaka tentu harun din marah klu mcm ni,