Selasa, 24 Februari 2015

Media ada “agenda jahat” – Guan Eng

 
Setiausaha Agung DAP sering mengelak daripada menjawab soalan wartawan.


lgepasdap


GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng akhirnya menyalahkan media sebagai mempunyai “agenda jahat” dalam isu pertelagahan antara PAS dan DAP berhubung pelaksanaan hukum Hudud.

Setelah mengelak beberapa kali daripada menjawab dan bertindak mengundi mulut sendiri, beliau akhirnya meletakkan kesalahan pada media kerana membesar-besarkan isu.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, beliau tidak mahu terperangkap dengan agenda jahat sesetengah media yang mahu membesarkan isu berkenaan.

“Saya kalau nak komen saya akan buat kenyataan bertulis. Kadang-kadang bila saya komen dekat sini (sidang akhbar) pun tak siar keluar. Saya tak mahu terperangkap dengan agenda jahat media, saya tidak mahu bermain dengan agenda itu,” dakwanya.

“Apa yang saya rasa kesal sedikit ini (agenda jahat) macam diikuti oleh semua media…ini amat jelas. Saya akan cakap lebih apabila saya menghadiri rumah terbuka Yang Berhormat Chow Kon Yeow tengah hari ini,” kata beliau, lapor Bernama.

Beliau sebelum ini mengambil langkah selamat dengan bertindak ‘melarikan’ diri daripada wartawan apabila ditanya berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan yang membabitkan pertikaian antara DAP dan PAS.

Malah Setiausaha Agung DAP itu juga seolah-oleh ‘mempermainkan’ wartawan dengan berkata akan mengulas lebih lanjut pada rumah terbuka exco kerajaan negeri apabila ditanya mengenai perang mulut antara Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berhubung Hudud.

Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tetap tidak menjawab soalan berhubung perkara itu ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan
Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow.

Ketika ditanya dengan soalan sama berulang kali, Guan Eng hanya berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan bertulis sekiranya perlu.

Ini bukan kali pertama beliau mengelak untuk menjawab soalan-soalan berhubung isu antara DAP dan PAS. Sebelum ini beliau juga mengambil langkah ‘berdiam diri’ ketika isu antara beliau dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan isu pemecatan Bendahari PAS Negeri, Iszuree Ibrahim daripada Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Baharu dan Ketua Sekretariat Tetap Kanun Jenayah Syariah Kelantan, kemudiannya berkata PAS tidak akan tunduk kepada DAP dalam usaha melaksanakan Enakman Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau hudud di Kelantan, sebaliknya DAP disaran keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya tidak bersetuju dengan perjuangan PAS itu.

Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dari 16 hingga 19 Mac ini adalah bagi pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Tiada ulasan: