Selasa, 24 Februari 2015

Larangan Naik Margin untung 15 Bulan Lepas GST

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR  - Larangan ke atas perniagaan untuk menaikkan margin keuntungan mereka semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) mendapat maklum balas berbeza daripada industri yang berpendapat kerajaan sebaliknya perlu memantau harga dengan teliti daripada rantaian bekalan awal.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy dilaporkan berkata bahawa peniaga tidak seharusnya menaikkan margin keuntungan mereka tiga bulan sebelum dan 15 bulan selepas penguatkuasaan CBP, mengingatkan mereka bahawa tindakan sedemikian akan menyerupai kepada pencatutan.

Beliau berkata penguatkuasaan tempoh terhad itu bertujuan mengekang peniaga yang tidak bertanggungjawab daripada menaikkan harga untuk mendapat margin keuntungan yang lebih tinggi.

"Kenapa kita mesti selalu fikir bahawa kos akan meningkat (semasa pelaksanaan CBP). Terdapat juga kemungkinan bahawa harga akan turun. Kami mahu peruncit mengekalkan margin keuntungan bersih mutlak mereka," katanya kepada Bernama.

Subromaniam berpendapat bahawa penurunan tarif elektrik dari 1 Mac hingga 30 Jun, 2015 akan mengurangkan kos pengeluaran.

Mengulas larangan tersebut, Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Brahim's Dewina Group of Companies Ahmad Husaini Hassan berkata barangan yang dibawa masuk oleh pengimport perlu dikawal berikutan sebarang perubahan harga akan memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan.

"Kami akan bersetuju (terhadap larangan tersebut) jika kerajaan mengambil tindakan terhadap pengimport, yang tidak mengisytiharkan cukai pada nilai sebenar, berikutan mereka mempunyai potensi untuk menaikkan harga (mengambilkira harga awal CBP).

"Malah, dengan berbuat demikian, harga sudah tentu akan jadi lebih murah. Kami (rantaian bekalan dan pengguna) akan berterima kasih (kepada kerajaan) atas langkah tersebut," katanya kepada Bernama, sambil menambah kira-kira 50 peratus daripada bahan-bahan mentah yang digunakan dalam produk Brahim's merupakan barangan import.

Sebaliknya, Subromaniam berkata masalah sedemikian tidak akan berlaku berikutan pengimport juga perlu mendaftar CBP untuk menuntut cukai input.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Datuk Moehamad Izat Emir memuji langkah Jabatan Kastam mengekang industri daripada menaikkan margin keuntungan tiga bulan sebelum pelaksanaan CBP.

"Ini akan memberikan tempoh bertenang kepada peruncit bagi membolehkan peniaga bersedia dari segi mental bagi sebarang keuntungan atau kerugian.

"Bagaimanapun, melarang industri daripada menaikkan margin keuntungan 15 bulan selepas pelaksanaan CBP perlu dikaji dan dibincang," katanya.

Pengarah Eksekutif Poh Kong Holdings Bhd Ermin Der Ming Siow melihat larangan tersebut sebagai 'tidak adil' kerana ia bertentangan dengan Akta Persaingan 2010 berikutan syarikat beroperasi dalam ekonomi pasaran bebas, yang membenarkan mereka untuk menetapkan harga.

Beliau berkata langkah tersebut tidak mesra perniagaan berikutan syarikat perlu berhadapan dengan kos bahan mentah dan logistik seperti pengangkutan dan tenaga kerja yang di luar kawalan mereka.

"Peruncit sebenarnya menangguhkan margin keuntungan mereka ketika ini dan kami perlukan untung untuk terus hidup," katanya.

Tiada ulasan: