Selasa, 24 Februari 2015

Kerbau Ke Hospital Dorong Jalan Raya Dibina Segera

Oleh: MUGUTAN VANAR


Bojong Mokiling diangkut oleh 'kereta kerbau' dari Kampung Niatang menuju ke jalan utama di Pitas.
 
 
 
KOTA KINABALU: Gambar di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki tua separuh lumpuh ditarik oleh seekor kerbau ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan perubatan di daerah utara Pitas, Sabah, telah mendorong tindakan pembinaan segera akses jalan masuk.

Nasib penduduk Kampung Niatang mendapat perhatian apabila gambar lelaki tua berusia kira-kira 70 tahun, Bojong Mokiling, berbaring di atas sekeping papan sambil ditarik seekor kerbau melalui jalan berbatu dan berlumpur dari sebuah perkampungan terpencil ke jalan utama.

Menantu lelaki itu, Albert madin berkata 'kereta' itu adalah satu-satunya bentuk pengangkutan yang dapat digunakan untuk keluar dari kampung kerana mereka tidak dapat mendapatkan bantuan pemilik kenderaan 4WD untuk membawa keluar Bojong dari kampung yang terletak kira-kira 1.5km dari jalan utama Pitas.

"Bapa mertua saya lumpuh dan memerlukan rawatan. Keadaannya semakin buruk jadi kami mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital. Kami tidak mempunyai pilihan melainkan menggunakan apa sahaja bentuk pengangkutan kerana tidak ada kenderaan 4WD," katanya.

Adun Pitas Datuk Bolkiah Ismail, yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, ketika dihubungi berkata beliau akan mendapatkan kelulusan segera daripada Kementerian Pembangunan Infrastruktur untuk membina jalan bagi kemudahan penduduk kampung yang terjejas.

"Saya sudah melawat kampung itu dengan pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya. Kita akan mengambil tindakan segera untuk mendapatkan kelulusan bagi pembinaan jalan," kata Bolkiah.

Beliau berkata kampung itu tidak diwartakan di bawah daerah Pitas, kerana terdapat hanya kira-kira enam buah rumah dengan kira-kira 50 penduduk tinggal di kawasan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata langkah segera akan diambil untuk membina jalan raya.

Perkampungan yang terletak di Pitas itu terletak pada jarak 15km dari hospital Pitas, kira-kira 60km dari hospital Kota Marudu dan kira-kira 135km dari hospital Kudat.

Pitas terletak kira-kira 250km dari Kota Kinabalu.

Netizen menggesa kerajaan bertindak dengan segera untuk membantu penduduk Kampung Niatang selepas gambar Bojong menjadi viral.

Tiada ulasan: