Sabtu, 28 Februari 2015

Jangan main tarik tali, kata Saravanan kepada Palanivel

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
GEORGETOWN: Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan menggesa Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel untuk tidak terus bermain tarik tali, sebaliknya segera menetapkan tarikh pemilihan semula semua jawatan dalam parti berkenaan.
 
Beliau berkata Palanivel sepatutnya memutuskan tarikh pemilihan semula parti itu terlebih dulu seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum bertindak mempertahankan jawatan berkenaan.
 
"Apabila ada arahan (pemilihan semula), dia (Palanivel) dengan kadar segera (perlu) tetapkan tarikh, terus buat pemilihan dan kemudiannya lantik semua jawatankuasa yang beliau hendak.
 
"Tak perlulah pusing seluruh negara, tetapkan tarikh dulu. Ini bukan hal rumah tangga beliau, ini hal parti. Kalau hendak mempertahankan jawatan, tetapkan tarikh dulu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan Piala FA antara Sungai Ara FC dan MISC-MIFA, di Stadium Bandaraya di George Town, malam tadi.
 
Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan 3 naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.
 
Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Tiada ulasan: