Dua didakwa bunuh isteri anggota polis Dua remaja, A Nagarujun, 19, (kanan) dan seorang juvana, 17, (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh isteri seorang anggota polis pada 11 Februari lalu. - Foto Bernama
 
 
IPOH - Dua lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas kesalahan membunuh seorang wanita di Taman Tanjung Emas, Ulu Kinta, di sini, 11 Februari lalu.

Tertuduh, A Nagarujun, 19, dan seorang remaja berusia 17 tahun dituduh membunuh Izaah Abdullah, 52, yang juga isteri seorang anggota polis di No 9, Laluan Tanjung 4, Taman Tanjung Emas, di sini.

Mengikut kertas pertuduhan mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan  bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh digantung mandatori.‎